
Oleh: Aimi Mohamad Farid
SERDANG, 6 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi diplomasi budaya apabila menjalin kerjasama strategik dengan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) melalui Program Narasi Nusantara: Bahasa, Sastera dan Warisan Budaya Serumpun untuk Penyelidikan dan Dialog Global, yang menghimpunkan mahasiswa kedua-dua universiti dalam usaha memperkasakan bahasa, sastera dan warisan budaya Nusantara di peringkat serantau.
Program yang berlangsung di Bandung, Indonesia itu melibatkan 22 mahasiswa UPM dan 15 mahasiswa UPI, dengan menggabungkan pembelajaran rentas budaya, dialog ilmiah, penyelidikan, penghasilan karya dan khidmat komuniti bagi melahirkan graduan yang memiliki kompetensi global tanpa mengabaikan identiti budaya serumpun.
Pengarah Program, Muhamad Syafiq Mohd Salleh, berkata program itu membuktikan bahawa bahasa dan sastera bukan sekadar bidang ilmu, malah berperanan sebagai instrumen diplomasi budaya yang mampu mengeratkan hubungan antara negara serumpun.
“Melalui pengalaman pembelajaran rentas budaya, mahasiswa didedahkan kepada nilai toleransi, kepelbagaian dan kemanusiaan yang mengangkat bahasa, sastera dan budaya Nusantara sebagai medium memperkukuh hubungan serantau serta memperkenalkannya kepada masyarakat dunia,” katanya.
Program yang mendapat sokongan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra UPI, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, i-PUTRA UPM, WAZAN UPM serta Kelab Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian itu mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui diplomasi budaya.

Selain itu, program ini sejajar dengan aspirasi Pelan Pemacu Kesohoran Global Putra 2026–2035 dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan UPM.
Sepanjang program, peserta mengikuti seminar berkaitan bahasa, sastera dan budaya Nusantara, dialog ilmiah, bengkel penulisan aksara Sunda, lawatan akademik serta penghasilan karya yang memperkukuh pemahaman terhadap sejarah, bahasa dan warisan budaya rantau ini. Mereka turut berkongsi persamaan budaya melalui permainan tradisional, makanan warisan dan adat masyarakat Melayu serta Indonesia, sekali gus memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam rumpun Nusantara.
Selain pengisian akademik, program itu turut menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi aktiviti khidmat komuniti di SMP Labschool UPI dan Rumah Panti Asuhan Mizan Amanah. Mahasiswa kedua-dua universiti melaksanakan aktiviti pendidikan, permainan bahasa, apresiasi sastera, sesi motivasi dan perkongsian budaya yang menyemai nilai kepimpinan, empati dan kesukarelawanan, di samping mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Dr. Muhammad Zarif Hassan @ Zulkifli, berkata pengalaman pembelajaran rentas negara memberikan nilai tambah kepada pembangunan bakal pendidik yang mampu beradaptasi dalam landskap pendidikan global.

“Mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori di bilik kuliah, malah menghayati realiti masyarakat, budaya dan sistem pendidikan negara jiran secara langsung, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keupayaan berinteraksi dalam persekitaran antarabangsa,” katanya.
Pensyarah Fakultas Pendidikan Bahasa dan Sastra UPI, Prof. Dr. Yulianeta, M.Pd., berkata program tersebut menjadi simbol persaudaraan ilmu yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia melalui kekuatan bahasa, sastera dan budaya.
“Melalui program seperti ini, mahasiswa bukan sahaja bertukar ilmu, malah belajar menghargai kepelbagaian budaya serta membina persefahaman yang menjadi asas kepada kerjasama serantau pada masa hadapan,” katanya.



.jpg)


