| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi kolaborasi dengan Putrajaya Glamping @ Wetland

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 5 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman apabila pelajar tahun dua program Bacelor Sains Taman dan Rekreasi Dengan Kepujian (BSTRDK), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), berpeluang mengikuti aktiviti perkhemahan akademik di Putrajaya Glamping @ Wetland baru-baru ini.

 

Program lapangan bagi subjek Hospitaliti Dalam Taman dan Rekreasi itu memberi pendedahan praktikal kepada pelajar berkaitan pengurusan dan operasi tapak perkhemahan serta hospitaliti rekreasi dalam suasana sebenar industri.

 

Menariknya, pakej perkhemahan 2 hari 1 malam yang ditawarkan hanya berharga RM50 seorang, termasuk hidangan bufet tiga kali sehari, sekali gus menjadikan lokasi tersebut antara produk rekreasi bandar yang mesra rakyat dan mampu diakses pelbagai lapisan masyarakat.

 

Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, FHAS, UPM, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa, berkata inisiatif  tersebut adalah sebagai satu pendekatan yang relevan dalam menyokong keseimbangan gaya hidup sihat khususnya bagi komuniti bandar yang berdepan tekanan kerja dan kos sara hidup tinggi.

 

“Lawatan akademik seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman berkaitan pengurusan hospitaliti dan penyajian makanan malah turut meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi profesional, pengurusan krisis dan etika berinteraksi dengan tetamu kenamaan,” katanya.

 

Selain itu, lokasi tersebut telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Puan Hannah Yeoh pada 8 Mei lalu.  Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ Hj Mohd Sakeri Abdul Kadir.

 

Dalam sesi tersebut, delegasi kementerian turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar UPM yang mengikuti program akademik berkenaan.

 

Dalam pada itu, UPM melihat pendekatan pembelajaran lapangan seperti ini sebagai medium penting dalam melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri rekreasi serta hospitaliti negara.

 

Pada masa sama, Putrajaya Glamping @ Wetland berpotensi berkembang sebagai destinasi rekreasi bandar unggul yang mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa pada masa hadapan.

WZHNBA1~