| Universiti Putra Malaysia

UPM perkasa kemahiran komunikasi murid sekolah melalui Bengkel Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 13 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan bakat muda apabila menganjurkan Bengkel Kemahiran Pengucapan Awam dan Pengacaraan Majlis yang disertai 80 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, hari ini.

 

Program itu  bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai teknik komunikasi berkesan, pengucapan awam yang berimpak serta asas pengacaraan majlis serta membantu membina keyakinan diri dan keterampilan mereka sebagai pemimpin masa depan.

 

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM, Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata kemahiran komunikasi kini menjadi antara kompetensi penting yang perlu dikuasai oleh generasi muda bagi menghadapi cabaran pendidikan dan dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

 

“Pengucapan awam bukan sekadar kemahiran bercakap di hadapan khalayak tetapi juga melibatkan keupayaan menyampaikan idea dengan jelas, berfikir secara kritis dan membina keyakinan diri. Melalui bengkel ini, UPM ingin berkongsi kepakaran universiti dengan komuniti setempat bagi membantu melahirkan generasi yang lebih berani dan berdaya saing.

 

“Program seperti ini juga selaras dengan aspirasi UPM untuk memperluaskan pemindahan ilmu kepada masyarakat serta menggalakkan murid sekolah melihat institusi pengajian tinggi sebagai destinasi yang mampu membantu mereka mengembangkan potensi diri,” katanya.

 

Guru Penyelaras Pusat Sumber, SMK Seri Serdang, Zurita Yeh, berkata program berkenaan sebagai satu bentuk kerjasama strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan murid di luar bilik darjah.

 

“Bengkel ini merupakan jalinan yang sangat baik antara sekolah dan universiti. Murid-murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu malah berpeluang belajar secara langsung daripada pakar yang mempunyai pengalaman dalam bidang komunikasi dan pengucapan awam.

 

“Dengan reputasi serta kewibawaan UPM saya percaya pendedahan seperti ini dapat memberi impak positif kepada murid dan membantu mereka membina keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan,” katanya.

 

Pelajar Tingkatan 3, SMK Seri Serdang, Azzalia Sofia Aziz Khan yang juga peserta aktif debat sekolah, berkata program tersebut memberinya panduan berguna untuk mengatasi perasaan gemuruh ketika berucap di hadapan orang ramai.

 

“Saya belajar beberapa teknik untuk mengawal rasa gementar dan menyampaikan ucapan dengan lebih yakin. Kemahiran ini sangat penting bukan sahaja untuk pertandingan debat tetapi juga untuk pembentangan akademik, peperiksaan serta persediaan menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

 

Rakannya, Aajay a/l S. Suresh, berkata peluang mengikuti bengkel di sebuah universiti penyelidikan terkemuka memberi pengalaman yang sangat bermakna kepadanya.

 

“Saya mempelajari teknik komunikasi yang betul serta cara menyusun idea sebelum bercakap. Pengalaman ini membantu saya meningkatkan keyakinan diri dan memberi motivasi untuk terus memperbaiki kemahiran berkomunikasi,” katanya.

 

Dalam pada itu, bengkel yang berlangsung sehari itu merangkumi sesi teori dan latihan praktikal yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan teknik pengucapan awam serta pengacaraan majlis dalam suasana interaktif.

 

Bengkel ini turut menjadi sebahagian daripada pengisian Bulan Sinergi Putra yang menggalakkan perkongsian ilmu, kerjasama strategik dan usaha memperluas keterlihatan kepakaran universiti demi manfaat masyarakat.

WZHNBAy~