| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, pacu agenda kampus lestari sempena Bulan Sinergi Putra 2026

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 15 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint sebagai komitmen strategik universiti dalam memimpin usaha pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan melalui pendekatan berasaskan ilmu, penyelidikan dan inovasi.

 

Pelancaran blueprint tersebut menjadi antara pengisian utama Bulan Sinergi Putra 2026 yang berlangsung sepanjang Jun ini dengan tema “Dari Kampus ke Impak Nasional dan Global: Sinergi untuk Masa Hadapan Mampan”.

 

UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint akan menjadi kerangka tindakan universiti dalam menyelaras inisiatif akademik, penyelidikan, inovasi dan penglibatan komuniti ke arah menangani cabaran kesihatan planet serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat nasional dan global.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, berkata blueprint berkenaan memperincikan bagaimana peranan UPM boleh memberi impak dalam membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan kesihatan planet melalui penggemblengan kepakaran universiti bersama agensi kerajaan, industri dan komuniti.

 

“UPM mempunyai kepakaran yang luas merangkumi pelbagai bidang yang boleh digandingkan dengan pihak berkepentingan bagi menghasilkan penyelesaian berasaskan penyelidikan, inovasi, dasar dan penguatkuasaan dalam menangani cabaran kesihatan planet.

 

“Melalui UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint universiti berhasrat memperkukuh peranan sebagai peneraju ilmu dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata, kejayaan agenda kesihatan planet memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak serta perubahan sikap dalam kalangan masyarakat ke arah amalan yang lebih lestari.

 

“Kesihatan planet adalah tanggungjawab bersama. Justeru, sinergi antara universiti, kerajaan, industri dan masyarakat amat penting bagi memastikan kesejahteraan manusia dan alam sekitar dapat dipelihara secara berterusan,” katanya.

 

Sementara itu, Bulan Sinergi Putra 2026 menjadi platform strategik UPM dalam memperkukuh pelaksanaan agenda universiti secara menyeluruh melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus, di samping memperkukuh budaya kolaborasi, keterangkuman dan kebersamaan dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan negara.

 

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, berkata  Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan inisiatif strategik yang mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh pelaksanaan agenda universiti secara menyeluruh melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus.

 

“Saya melihat Bulan Sinergi Putra 2026 sebagai manifestasi kesungguhan UPM dalam memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi yang responsif, progresif dan berdaya tahan, serta hala tuju pendidikan tinggi negara.

 

“KPT sentiasa menyokong usaha institusi pendidikan tinggi yang menggalakkan sinergi rentas disiplin, memperkukuh kesejahteraan warga, memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta memperluas impak kepada komuniti. Saya yakin inisiatif seperti Bulan Sinergi Putra 2026 mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat nasional mahupun global,” katanya.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan, berkata  Bulan Sinergi Putra 2026 merupakan kesinambungan daripada Bengkel Sinergi Putra: Fokus KPI Interim UPM 2026 yang diadakan pada 24 hingga 26 April lalu.

 

“Program ini melibatkan semua ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) sebagai penggerak utama dalam menjayakan agenda strategik universiti.

 

“Bulan Sinergi Putra 2026 berfungsi sebagai platform untuk menterjemahkan aspirasi Pelan Strategik UPM 2026-2030 kepada tindakan yang berimpak memperkukuh budaya kolaborasi dan rasa pemilikan dalam kalangan warga universiti,” katanya.

 

Selain itu, pelaksanaan program itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama universiti iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kesihatan Planet dan Kelestarian, Kesohoran Global, Kesejahteraan Warga serta Jiwa PUTRA.

 

Sepanjang bulan tersebut, pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan di peringkat universiti dan PTJ bagi meningkatkan kefahaman warga kampus terhadap agenda strategik universiti serta menterjemahkan sasaran KPI Interim 2026 dan Pelan Strategik UPM 2026-2030 kepada tindakan yang nyata.

 

Setiap jawatankuasa dan PTJ turut digalakkan melaksanakan sekurang-kurangnya satu program berimpak tinggi di peringkat universiti dan dua program di peringkat PTJ sebagai usaha memperluas penglibatan warga UPM dalam menjayakan agenda transformasi universiti.

WZHMKAv~