| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar Bulan Digital 2025, pacu transformasi AI dan pendigitalan pendidikan tinggi negara

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 10 Disember - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh peranannya sebagai peneraju transformasi digital pendidikan tinggi dan memperkukuhkan kesedaran digital melalui penganjuran Sambutan Bulan Digital UPM 2025

 

Pada program itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, hadir menyampaikan ucaptama bertajuk “Empowering Futures: Digital Transformation.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata Bulan Digital UPM merupakan platform untuk meningkatkan kefahaman warga kampus mengenai kepentingan literasi digital, keselamatan siber, penggunaan data serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam kerja seharian.

 

“Harapan saya agar inisiatif ini dapat mengubah cara kita bekerja dan cara kita menggunakan teknologi maklumat (IT), AI demi kebaikan universiti dan penggunaan teknologi ini perlu secara positif dan bertanggungjawab,” katanya.

 

Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Digital Renaissance: Charting AI-Ready Higher Education” yang mengupas secara mendalam cabaran serta peluang yang bakal membentuk landskap pendidikan tinggi era kecerdasan buatan.

 

Dalam ucaptamanya, beliau menerangkan bagaimana transformasi digital dan gelombang AI akan memberi kesan langsung kepada universiti, termasuk keperluan menyesuaikan dasar, pengajaran, penyelidikan serta pembangunan bakat agar selari dengan hala tuju global.

 

“Sebagai institusi penyelidikan utama negara, UPM komited menjadikan pendigitalan sebagai pemacu inovasi, kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat berdaya saing yang mampu menyumbang kepada agenda digital Malaysia,” katanya

 

Ketua Pegawai Digital (CDO), iDEC, UPM, Profesor Ts. Dr. Nurfadhlina Mohd Sharef, berkata universiti telah mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan warga kampus sentiasa berada dalam arus perdana transformasi digital.

 

“Selari dengan Kerangka Transformasi Digital UPM, Anjakan Strategi Digital First dan True North UPM pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk peningkatan keselamatan siber, penyediaan data berkualiti dan pembangunan sistem makluman universiti,” katanya.

 

Dalam pada itu, sambutan Bulan Digital UPM 2025 memperlihatkan komitmen universiti untuk membina budaya digital yang mampan serta mempersiapkan warga akademia dan staf universiti menghadapi peluang dan cabaran AI pada masa kini.

XZKMIAp~