
Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 28 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar satu lagi langkah strategik ke hadapan menerusi pengenalan Blueprint Kesihatan Planet dan Kelestarian iaitu satu kerangka tindakan menyeluruh yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus, malah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar secara global.
Penasihat Jawatankuasa Planetary Health and Sustainability Task Force UPM, Dato’ Prof. Dr. Zulkifli Idrus, berkata konsep kesihatan planet atau planetary health merupakan satu pendekatan relatif baharu yang menekankan hakikat bahawa kesejahteraan manusia sangat bergantung kepada alam sekitar yang sihat termasuk cara manusia menjaga haiwan dan menghasilkan makanan.
“Kesihatan planet merangkumi tiga komponen utama iaitu kesihatan manusia, kesihatan haiwan dan kesihatan alam sekitar. Ketiga-tiganya saling berkait dan tidak boleh ditangani secara berasingan,” katanya.
Tambah beliau, Blueprint Kesihatan Planet dan Kelestarian UPM dibangunkan sebagai halatuju strategik universiti bagi memastikan pembangunan pendidikan, penyelidikan dan operasi kampus bergerak seiring dengan prinsip kesihatan planet.
“Ini juga menjadi respons kepada pelbagai cabaran global dan tempatan yang semakin kompleks, termasuk perubahan iklim, keterjaminan dan keselamatan makanan, tekanan terhadap sistem kesihatan serta kemerosotan alam sekitar.
“Isu-isu ini saling berkait. Sebagai contoh, dalam usaha meningkatkan hasil penanaman padi negara, kita perlu mengambil kira faktor iklim, alam sekitar, keterjaminan makanan dan kesejahteraan pesawah itu sendiri. Semua ini perlu ditangani secara holistik,” katanya.
Dato’ Prof. Dr. Zulkifli berkata, pembangunan blueprint ini turut melengkapi inisiatif terdahulu UPM menerusi pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan.
“Sebagai universiti yang berteraskan DNA pertanian dan sains biologi UPM melihat keperluan untuk menyatukan kekuatan akademik, pendidikan dan operasi kampus dalam satu kerangka tindakan yang jelas, bersepadu dan berimpak.
“Blueprint ini bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya bertujuan menterjemahkan strategi kepada tindakan yang mampu meningkatkan kesejahteraan bukan sahaja warga kampus, malah masyarakat secara menyeluruh, termasuk perlindungan terhadap flora, fauna dan biodiversity,” katanya.
Dalam konteks kampus,beliau berkata, konsep kesihatan planet diterjemahkan melalui hubungan saling bergantung antara kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
“Kesihatan warga kampus, dipengaruhi oleh keselamatan makanan, persekitaran yang bersih dan sihat Sebagai sebuah universiti, kita perlu menangani isu ini berasaskan sains dan teknologi. Di sinilah UPM perlu tampil berbeza,” katanya
Beliau berkata, aspek kebajikan haiwan turut diberi penekanan sebagai sebahagian daripada kesihatan planet.
“Kebajikan haiwan bukan sahaja melibatkan ternakan, malah semua spesies, dan ia berkait rapat dengan keselamatan makanan kerana haiwan yang sejahtera menghasilkan produk yang lebih selamat dan berkualiti,” katanya.
Selain itu, beliau menzahirkan harapan agar UPM, sebagai sebuah kampus hijau, dapat berfungsi sebagai living laboratory dengan menggembleng kepakaran pelbagai disiplin dalam kalangan pakar universiti untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan inovasi berkaitan kesihatan planet.
“Dalam jangka panjang, aspirasi utama blueprint ini adalah untuk menjadikan kelestarian sebagai budaya dalam kalangan warga UPM dan kejayaan blueprint ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, pemantauan berterusan dan penghayatan bersama.
“Blueprint ini bukan sekadar di atas kertas dan pelaksanaan adalah kunci. Perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi dengan sokongan warga kampus dan masyarakat ia boleh direalisasikan,” katanya.
Dari sudut pembangunan pelajar, Dato’ Prof. Dr. Zulkifli berkata blueprint ini dilihat mampu melahirkan graduan yang peka terhadap isu keselamatan planet.
“Harapan saya agar pelajar akan menjadi duta universiti yang mampu menterjemahkan nilai dan prinsip kesihatan planet ke dalam dunia pekerjaan dan masyarakat, sekali gus memberi nilai tambah kepada diri mereka dan organisasi,” katanya.
Blueprint ini turut membuka ruang kepada UPM untuk berkongsi ilmu dan inovasi dengan komuniti sekitar serta masyarakat umum termasuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti kampus UPM sebagai aset pendidikan dan penyelidikan.
“Kita mahu UPM muncul sebagai pusat rujukan nasional dan serantau serta agen transformasi dalam bidang kesihatan planet,” katanya.

.jpg)

.jpg)


