| Universiti Putra Malaysia

UPM Jadi Tumpuan Perbincangan Masa Depan Industri Durian Asia Tenggara

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 




 

SERDANG, 21 Julai– Universiti Putra Malaysia (UPM) mengumpulkan lebih 200 penyelidik, pemain industri, pengusaha dusun dan pembuat dasar dari Malaysia, Thailand, Vietnam serta Indonesia bagi membincangkan usaha memperkukuh daya saing dan kelestarian industri durian serantau di International Durian Seminar 2026 (IDS2026).

Pengerusi International Durian Seminar 2026 (IDS2026), Dr. Abdul Aziz Zakaria berkata industri durian Malaysia kini berdepan peluang besar susulan peningkatan permintaan eksport, khususnya selepas pelaksanaan Protokol Eksport Durian Segar Malaysia-China.

“Namun pemain industri masih berhadapan cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, ketidaktentuan harga di peringkat ladang, keperluan pematuhan standard eksport yang semakin ketat serta persaingan daripada negara pengeluar lain.

"Keadaan ini memerlukan lebih banyak inovasi, perkongsian ilmu dan kerjasama antara penyelidik, industri serta kerajaan bagi memastikan durian Malaysia terus berdaya saing dalam pasaran premium dunia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM) UPM, Prof. Dr. Shamsul Bahri Md Tamrin berkata, seminar berkenaan mencerminkan komitmen universiti bagi memperkukuh pembangunan sektor pertanian bernilai tinggi melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu.


Beliau berkata permintaan global terhadap durian terus berkembang dan ianya didorong oleh peningkatan minat pengguna serta peluasan pasaran eksport.

"Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai pengeluar durian premium dunia menerusi penghasilan varieti berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi, amalan pertanian mampan dan kerjasama strategik antara universiti, kerajaan serta industri," ujarnya.

“Pembangunan industri pada masa hadapan perlu memberi penekanan kepada penyelidikan berkaitan bahan tanaman yang tahan perubahan iklim dan penyakit, teknologi pertanian pintar, pengurusan nutrien dan perosak secara lestari, pengendalian selepas tuaiaan, rantaian sejuk, keselamatan makanan, sistem kebolehkesanan serta pembangunan produk nilai tambah.

Seminar bertemakan From Roots to Legacy: Cultivating Knowledge, Harvesting Futures itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) ini turut menganjurkan pameran lebih 50 varieti dan spesies durian tempatan selain bufet durian yang mengetengahkan pelbagai varieti premium Malaysia.

WZIMGAb~