| Universiti Putra Malaysia

UPM, Duat Al-Falah Malaysia perkasa pendakwah muda era digital melalui Konvensyen Duat Muda Kebangsaan 2025

 

SERDANG, 30 Disember – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dengan kerjasama Duat Al-Falah Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menganjurkan Konvensyen Duat Muda Kebangsaan 2025 sebagai platform memperkasakan generasi pendakwah muda dalam mendepani cabaran dakwah era digital.

 

Majlis perasmian konvensyen tersebut disempurnakan oleh Penolong Mufti Kanan, Ustaz Muhammad Imran Ibrahim yang menekankan keperluan minda tajdid serta pendekatan dakwah berintegriti dan berlandaskan hikmah dalam landskap teknologi yang semakin mencabar.

 

Program anjuran pelajar kursus kokurikulum berkredit QKW2110: Pengurusan Masjid Kumpulan 3 di bawah PKPP ini turut melibatkan kerjasama Pusat Zakat Wakaf dan Infak (WAZAN) UPM, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Ikram Muda, Adab Youth Garage, Pertubuhan Sukarelawan Hospital Muslim dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia serta menghimpunkan seramai 150 mahasiswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

 

Pengarah Program, Muhammad Syazwan Mohamad Safizam berkata, konvensyen bertemakan Duat Rabbani, Generasi Madani ini dirangka bagi melahirkan barisan pelapis pendakwah yang bukan sahaja mantap dari sudut ilmu agama, malah cekap berinteraksi dengan realiti masyarakat dan teknologi semasa.

 

“Pengisian konvensyen menekankan kepentingan kebijaksanaan dalam penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data dalam dakwah, khususnya bagi mengelakkan salah guna maklumat serta memastikan mesej Islam disampaikan secara beretika dan berkesan,” katanya.

 

Tambah beliau, inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan pihak berautoriti agama.

 

“Sinergi ini penting bagi memastikan mahasiswa mendapat pendedahan komprehensif mengenai realiti sebenar dunia dakwah dan pengurusan komuniti Islam,” katanya.

 

Fasilitator program, Nik Mohamad Ridhwan Nik Nasrudin, berkata konvensyen tersebut tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan slot khusus berkaitan peranan analitik data dan AI dalam memahami trend serta keperluan ummah masa kini.

 

“Peserta didedahkan kepada pelbagai topik kritikal bermula dengan pembentukan jati diri pendakwah, kefahaman landskap masyarakat digital, sehingga ke aspek pengurusan isu keagamaan yang memerlukan sensitiviti dan ketelitian,” katanya.

 

Selain itu, perkongsian berkaitan integriti dakwah dari perspektif perundangan serta cabaran pengurusan jenazah turut disampaikan oleh barisan penceramah dari pelbagai institusi yang menekankan peranan golongan muda dalam memastikan pengurusan hal ehwal umat dilaksanakan secara berdisiplin dan bertanggungjawab.

 

Konvensyen ini turut menampilkan forum bertajuk Manhaj Pemikiran Berpandukan dalam Kerangka Malaysia Madani yang membariskan panel pakar daripada Universiti Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

 

Dalam pada itu, Konvensyen Duat Muda Kebangsaan 2025 disasarkan untuk melahirkan generasi baharu pendakwah yang bukan sahaja faqih dalam ilmu agama, malah berupaya menjadi pemangkin ketermajuan ummah, bergerak seiring dengan arus teknologi demi pembangunan diri, masyarakat dan negara.

XZKMIAe~