| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Jabatan Alam Sekitar Jayakan Program Pemulihan Sisa Pepejal di Pantai Batu Laut

 

 

TANJUNG SEPAT, 8 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan komuniti setempat, telah menganjurkan Kempen Kebersihan Pantai Batu Laut sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.

 

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran sivik, tanggungjawab sosial dan kefahaman praktikal mengenai pengurusan sisa pepejal, khususnya dalam konteks pemeliharaan kawasan pesisir pantai. Ia juga memperkukuh hubungan strategik antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti tempatan ke arah pembangunan lestari.

 

Seramai 100 peserta terdiri daripada 88 pelajar, staf fakulti, wakil agensi kerajaan dan sukarelawan komuniti telah mengambil bahagian. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kesedaran Alam Sekitar JAS, Encik Mohd Helmi Ahmad, yang menyampaikan ucapan sokongan serta menekankan kepentingan pemantauan sisa dan pemuliharaan pantai sebagai sebahagian pelaksanaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

 

“Usaha seperti ini bukan sekadar aktiviti kebersihan, tetapi bentuk pendidikan alam sekitar yang membina kesedaran lestari dan tanggungjawab sosial generasi muda,” katanya sambil memuji penglibatan pelajar UPM dalam memperkukuh sinergi universiti–kerajaan.

 

Penyelaras projek, Dr. Muhammad Heikal Ismail, berkata segala persiapan logistik termasuk penyediaan kontena pengasingan sisa dan lokasi pengumpulan khas dilaksanakan lebih awal bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang program.

 

Beliau berkata, aktiviti pembersihan pantai bermula sebaik peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil mengikut warna kemeja-T masing-masing bagi memudahkan penyelarasan dan pemantauan di lapangan.

 

Setiap kumpulan mengutip, mengasing dan merekod sisa mengikut kategori kitar semula (recyclable) dan bukan kitar semula (non-recyclable). Pendekatan ini memberi pengalaman langsung kepada pelajar mengenai amalan pengasingan di punca, selaras dengan dasar ekonomi kitaran negara.

 

 

Selain aktiviti pembersihan, pelajar turut terlibat dalam permainan pantai dan pertandingan reka sepanduk alam sekitar bagi memupuk semangat kerja berpasukan, kreativiti dan kesedaran sivik secara interaktif.

 

Penyelaras program, Prof. Madya Dr. Ferdius @ Ferdaus Mohamat Yusuff, berkata inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pengurusan sisa pepejal dan keselamatan lapangan, tetapi turut menanam nilai tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

 

“Ini menandakan satu langkah signifikan. Dengan semangat kerjasama dan kesedaran sivik yang ditunjukkan, Pantai Batu Laut bukan sahaja dibersihkan secara fizikal, tetapi menjadi simbol kesatuan antara universiti, kerajaan dan masyarakat dalam melindungi alam sekitar,” katanya.

 

Program berkenaan disifatkan berjaya mencapai objektif utamanya apabila memberi impak positif bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada komuniti tempatan. Inisiatif itu bukan sekadar aktiviti akademik, sebaliknya menjadi platform kolaborasi yang memperkukuh kesedaran sivik dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar, seiring dengan aspirasi UPM untuk melahirkan graduan berjiwa lestari serta berbakti kepada masyarakat.

WYMJSAT~