
SERDANG, 13 Mac 2025 - 30 subjek Universiti Putra Malaysia (UPM) merentasi lima bidang utama iaitu Engineering, Natural Sciences, Life Sciences, Arts and Humanities dan Social Sciences & Management telah tersenarai dalam Quacquarelli Symonds World University Rankings (QS WUR) by Subject 2025 yang diumumkan pada 12 Mac 2025.
Pencapaian paling ketara adalah Sains Veterinar (Veterinary Science) yang melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ke-37 terbaik dunia, menjadikannya subjek terbaik di Malaysia dalam bidang ini selama empat tahun berturut-turut.
Subjek Pertanian & Perhutanan (Agriculture & Forestry) pula kekal di kedudukan ke-56 terbaik dunia, mengekalkan kedudukan pertama di Malaysia dalam kategori ini selama 13 tahun berturut-turut. Ekonomi dan Ekonometrik (Economics & Econometrics) juga berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-146 terbaik dunia.
Selain itu, UPM turut mencatatkan pencapaian baharu dengan penambahan empat subjek, iaitu Pemasaran (Marketing) di kedudukan 51-100 terbaik dunia, Seni Persembahan (Performing Arts) di kedudukan 200 terbaik dunia, serta Seni dan Reka Bentuk (Art & Design) dan Statistik dan Penyelidikan Operasi (Statistics & Operational Research) yang masing-masing berjaya tersenarai dalam kelompok 300 terbaik dunia.
Secara keseluruhannya, pencapaian UPM dalam QS World University Rankings by Subject 2025 amat memberangsangkan, dengan 19 subjek tersenarai dalam kelompok 200 terbaik dunia berbanding hanya 16 subjek pada tahun lalu. Selain itu, enam subjek menunjukkan peningkatan kedudukan, manakala 11 subjek mengekalkan kedudukan masing-masing.
Untuk maklumat lanjut mengenai keputusan QS World University Rankings 2025, sila layari laman web rasmi QS World University Rankings 2025.



.jpg)


