
SERDANG, 28 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pelajar Tahun Akhir Bacelor Sains Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) menganjurkan Program Komuniti SULAM Dietista 17 Sulami PPDK-CERIA: Cilik Enak Makan, Rajin Ikut Amalkan memberi fokus kepada intervensi pemakanan secara praktikal untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Program tersebut menghimpunkan 156 peserta dari pelbagai pusat pemulihan sekitar Lembah Klang dan menampilkan pelbagai aktiviti seperti demonstrasi masakan sihat, zon pengembaraan deria serta sesi interaktif bersama pakar pemakanan.
Pengarah program, Nur Maryam Aeshah Muhamad Khairl Fuad, berkata penganjuran itu bertujuan membantu ibu bapa memahami keperluan dietetik anak-anak mereka serta memberi panduan praktikal melalui terapi pemakanan perubatan.

“Merancang program untuk kanak-kanak istimewa bukan mudah ia menuntut kreativiti dan kefahaman yang mendalam dan kam turut mempelajari pelbagai perkara baharu yang membuka mata kami tentang keperluan sebenar mereka,” katanya.
Selain itu, program itu turut menekankan pendekatan interaktif untuk menangani cabaran pemilihan makanan dan tingkah laku makan dalam kalangan kanak-kanak istimewa seperti autisme, Sindrom Down dan cerebral palsy, dengan penglibatan aktif ibu bapa dan guru.

Fasilitator program, Arni Nazira Abd Rahman, berkata beliau memperoleh pengalaman yang bermakna apabila seorang ibu peserta berkongsi keterujaannya terhadap perubahan positif anaknya.
“Salah seorang peserta iaitu seorang ibu memaklumkan anaknya buat pertama kali sudi mencuba makanan berasaskan sayur dan momen seperti ini membuatkan saya rasa usaha kami sangat berbaloi,” katanya.

Dalam pada itu, program ini turut mendapat sokongan padu daripada 11 penaja utama termasuk Pusat Pertanian Putra UPM, Nova Laboratories Sdn. Bhd. dan Yakult (Malaysia), yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan program komuniti berimpak tinggi ini.



.jpg)


