
SERDANG, 16 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Majlis Perwakilan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBESC) menganjurkan program SBESCare: Shaping Futures in Indigenous Communities bagi menyantuni komuniti Orang Asli di Kampung Binjai dan Kampung Deraman, Pahang, baru-baru ini.
Program selama dua hari itu bertujuan memperkasa masyarakat Orang Asli melalui pendekatan pendidikan, inovasi dan pertanian lestari serta memberi pendedahan kepada mahasiswa SBE dalam memupuk nilai insaniah dan semangat kesukarelawanan.
Selain itu, program tersebut mencerminkan komitmen UPM mengukuhkan jalinan strategik antara universiti dan komuniti setempat ke arah pembangunan yang lebih inklusif.

Pengarah Program, Darshna M. Saminathan berkata, inisiatif ini merupakan usaha bersama pelbagai pihak termasuk Kesatuan Mahasiswa UPM, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Pusat Pertanian Putra (PPP), dan Global Peace Foundation Malaysia.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti, malah turut mengajar kami tentang nilai kehidupan, ketabahan dan semangat kebersamaan,” katanya.
Presiden SBESC, Alia Sofiah Azuan, berkata pendekatan yang digunakan memberi kesan mendalam kepada komuniti dan mahasiswa.

“Kami berharap usaha kecil ini mampu memberikan impak besar kepada komuniti melalui pendidikan dan kesedaran, serta melahirkan mahasiswa yang prihatin dan bersedia berbakti semula kepada komuniti,” katanya.
Selain itu, sesi pembelajaran interaktif dan aktiviti luar, komuniti tersebut turut didedahkan kepada kaedah pertanian moden hasil perkongsian ilmu daripada Pusat Pertanian Putra (PPP), yang bertujuan meningkatkan produktiviti pertanian setempat secara berterusan.
Pelajar Tahun Dua, Bacelor Ekonomi, SBE, Nur Alisya Husna Mohd Ariffin, berkata program ini membuka ruang untuk memahami realiti kehidupan sebenar masyarakat luar bandar, selain mendidik diri untuk lebih peka dan prihatin.
“Banyak perkara yang kami pelajari bukan sahaja mengenai cabaran komuniti Orang Asli malah mengenai kekuatan dan keunikan budaya mereka. Ia menjadikan kami lebih bersyukur dan mahu terus menyumbang,” katanya.



.jpg)


