| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Program Kerohanian Bina Insan Madani 2025, platform tingkat sahsiah dan kerohanian pelajar

 


 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 12 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej 12 dan Kolej Sri Rajang menganjurkan Program Kerohanian Bina Insan MADANI 2025 Fasa II bagi platform meningkatkan sahsiah dan kerohanian pelajar masa kini.

 

Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof hadir ke Majlis Perasmian Penutupan Program Kerohanian Bina Insan MADANI 2025 (Fasa II).

 

Beliau turut merasmikan Al Biruni Smart Space di Masjid UPM yang dibangunkan hasil sumbangan daripada Dana Wakaf Ilmu Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Program dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu menyediakan program keagamaan dan kerohanian berbentuk ilmu sepanjang hayat sebagai alternatif selain daripada program yang sedia ada.

 

Naib Canselor UPM, Dato' Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penganjuran program ini memberikan platform kepada peserta mendapatkan ilmu kerohanian.

 

“Aspek kerohanian perlu sentiasa disemai dan diperkasa dalam diri setiap lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan negara,” katanya.

 

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata program ini menjadi medan pemindahan ilmu secara langsung daripada pakar UPM kepada masyarakat.

 

“Pelbagai pengetahuan dan kemahiran telah dikongsikan dan harapan saya ia bukan sahaja memberi manfaat segera kepada para peserta malah dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

 

Pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Amni Zahira Saiful berkata program sebegini sangat bermanfaat serta ilmu baharu.

 

“Saya juga dapat membina keyakinan diri serta membuka ruang untuk saya berinteraksi bersama rakan-rakan dari fakulti lain dan memberi peluang untuk bertukar idea dan pengalaman bersama mereka,” katanya.

 

Pelajar Bacelor Sains Biologi Dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Nurmuhammad Solehin Zainuddin berkata ini merupakan pengalam pertama beliau mengikuti program sebegini dan berharap universiti meneruskannya.

 

“Harapan saya agar program sebegini diteruskan supaya dapat terus mengasah kemahiran serta mengaplikasikan ilmu yang kami peroleh dalam kehidupan dan kerjaya kelak,” katanya.

 

Antara aktiviti yang turut diadakan ialah Tazkirah Subuh bertajuk Syawal Kesinambungan Bulan Ramadan yang disampaikan oleh Ahli Sekretariat Duat Al-Falah JAKIM, Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah.

 

Turut diadakan ialah Forum Keperibadian MADANI Penyatu Ummah II yang menampilkan Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah sebagai ahli panel.

 

Dalam pada itu, Program Kerohanian Bina Insan MADANI Fasa I sebelum ini  telah diadakan di Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu  pada Mac lalu yang dihadiri 600 peserta termasuk warga UPM Serdang, UPM Kampus Bintulu, pelajar dan guru Sekolah Maahad Tahfiz Sulaiymaniah serta komuniti setempat.

XZKMIAV~