
BINTULU, 30 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi kerjasama antara Kolej Dua Belas, UPM Serdang dan Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu, telah menganjurkan Program Kerohanian Bina Insan MADANI Fasa I baru-baru ini, bagi memperkukuh nilai kerohanian dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat.
Program tersebut dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan telah berlangsung di Surau Darus Syakirin, Kampung Assyakirin, Bintulu, dengan kehadiran kira-kira 600 peserta termasuk warga UPM Serdang, UPM Kampus Bintulu, pelajar dan guru Sekolah Maahad Tahfiz Sulaiymaniah, serta komuniti setempat.
Ketua Program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa yang juga Pengetua Kolej Dua Belas UPM, berkata program ini bukan sahaja memfokuskan kepada pengukuhan spiritual, malah memberi ruang kepada perkongsian ilmu antara pelajar dan masyarakat.
“Kami mahu semua peserta, termasuk pelajar bukan Islam, mendapat manfaat daripada pengisian program ini. Ia selari dengan enam rukun Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Antara pengisian utama program termasuk solat Subuh berjemaah, tazkirah, Klinik Celik Al-Quran, serta Klinik Asas Pengurusan Jenazah.
Wakil Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Dua Belas, Ahmad Wafiuddin Ahmad Latifi, menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai satu pengalaman berharga.
“Saya sudah lama ingin mempelajari pengurusan jenazah dan program ini memberi peluang yang sangat berharga. Ilmu ini penting, tetapi masih ramai anak muda yang kurang arif mengenainya jadi pendedahan seperti ini amat bermakna,” katanya.

Pelajar Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu, Veronieta Immuk Harry, berkata program ini memberikan pengalaman unik dalam memahami budaya dan nilai yang menjadi asas masyarakat Malaysia.
“Melalui aktiviti seperti sesi perkongsian dan gotong-royong, saya lebih menghargai kepelbagaian serta bagaimana perpaduan dapat diperkukuh melalui interaksi dan kerjasama,” katanya.
Fasa kedua program dijadualkan berlangsung pada 12 April 2025 di Masjid UPM Serdang dan terbuka kepada orang ramai sebagai kesinambungan usaha memperkasa nilai-nilai kerohanian sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.



.jpg)


