
Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Easwaran A/L Vasudavan, Hema Barathi A/P Anandarao, Maisarah Nurizzah Sulaiman Azari, Nurul Nazleena Sofea Mohd Nazarudean, Nur Azwa Aqilah Mohd Pricle
RAWANG, 22 November – Seramai 52 murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Sungai Serai telah menyertai program ECO-GUARDIANS: Listening to Nature, Empowering Communities 2025 anjuran Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), inisiatif pendidikan berasaskan pengalaman bagi memperkasakan sains dan kelestarian yang berlangsung di Kampung Orang Asli Ulu Kuang, Rawang.
Program yang bertemakan “Edugreen Revolution – Empowering Communities with Science for a Sustainable Future” itu berperanan memperkasa komuniti melalui kefahaman terhadap biodiversiti, kelestarian alam sekitar dan amalan hijau secara interaktif dan mudah difahami.
Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, berkata penganjuran tahun ini mencerminkan kesungguhan mahasiswa Fakulti Sains dalam memastikan program yang dilaksanakan memberi kesan langsung kepada masyarakat.
“Eco-Guardians merupakan penjenamaan semula program terdahulu, namun misinya tetap sama. Dengan sokongan rakan strategik, kami berjaya melangkaui perancangan asal. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan untuk siri seterusnya,” katanya.
Pengarah program, Easwaran a/l Vasudavan, berkata program itu menekankan kepentingan modul mesra komuniti.

“Konsep bermain sambil belajar dipilih agar mesej kelestarian lebih mudah diterima. Melihat keterlibatan aktif peserta amat menginspirasikan kami,” katanya.
Selain itu, penganjuran turut mendapat sokongan strategik daripada Pfizer Malaysia, National Cancer Society of Malaysia (NCSM), Faculty of Science Student Association (FaSSA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM.
Peserta mengikuti lima checkpoint pembelajaran Blind Maze, Match Mania, Spin & Save Nature, Energy Pass Challenge dan Race to Recycle yang direka secara khusus untuk memberi pendedahan mengenai isu pencemaran, kitar semula, kerosakan ekosistem, kepupusan spesies serta penggunaan tenaga secara lestari.
Pendekatan hands-on itu menggabungkan elemen permainan, pergerakan fizikal serta penerokaan konsep saintifik secara mudah, sekali gus meningkatkan minat peserta terhadap pemeliharaan alam sekitar melalui pengalaman sebenar.

Dalam pada itu, ECO-GUARDIANS 2025 merupakan kesinambungan siri Let’s Listen to Nature dan Bio-Superhero Outreach, yang sebelum ini meraih pingat emas I-TLB, dihargai dalam Majlis Anugerah Putra Ikon (API) dan menghasilkan e-buku ber-ISSN. Rekod ini mengukuhkan reputasi Fakulti Sains dan KMB sebagai peneraju program pendidikan komuniti berasaskan sains.
Inisiatif ini secara langsung menyokong komitmen UPM dalam melaksanakan Education for Sustainable Development (ESD) serta menyumbang kepada pencapaian Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Komuniti Lestari), SDG 12 (Penggunaan Bertanggungjawab), SDG 13 (Aksi Iklim) dan SDG 17 (Kerjasama).



.jpg)


