| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Pertandingan Seni dan Sains 2025, tingkat kesedaran sisa plastik terhadap alam sekitar di kalangan pelajar

 

PERAK, 29 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah menganjurkan Pertandingan Seni dan Sains 2025 sempena Hari Bumi 2025 bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengurangan sisa plastik.

 


Pertandingan itu melibatkan 14 sekolah dari seluruh Perak yang bertemakan Aksi Kecil, Impak Hebat: Bersama Hapuskan Sisa Plastik" adalah dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan United Nations Development Programme (UNDP) serta dijayakan di bawah inisiatif Young Reporters for Environment – Litter Less Campaign (LLC).

 


Ketua projek, Prof. Madya Dr. Sarva Mangala Praveena, berkata pertandingan ini memberi peluang kepada murid untuk meneroka kreativiti mereka dalam mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui penghasilan video dan arca bertemakan kelestarian alam.


"Melalui platform ini, murid bukan sahaja memahami kesan pencemaran plastik terhadap alam sekitar, malah berupaya menterjemahkan ilmu sains kepada tindakan dan ekspresi seni yang memberi impak kepada komuniti," katanya.

 


Tambah beliau, inisiatif ini selaras dengan Amanat Naib Canselor UPM 2025 untuk mengukuhkan reputasi UPM sebagai peneraju dalam bidang kelestarian serta pendidikan komuniti, berlandaskan hala tuju True North UPM.


“Melalui pertandingan ini universiti berusaha untuk melahirkan generasi muda yang celik alam sekitar yang berpotensi menjadi agen perubahan dalam menangani isu pencemaran plastik serta membentuk masa depan yang lebih lestari,” katanya.

 


Dalam pada itu, pertandingan tersebut adalah kesinambungan kejayaan projek Citizen Science Mapping Initiative of Microplastic Pollution 2024 yang menyaksikan peningkatan kesedaran murid terhadap bahaya mikroplastik daripada 30% kepada lebih 97% serta membuktikan komitmen mereka terhadap amalan sifar plastik di sekolah masing-masing.

XZKMHAZ~