Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 25 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) menganjurkan program BIZTALK: Chill & Connect Usahawansiswa UPM baru-baru ini sebagai platform memperkukuh jaringan strategik serta memperkasa aspirasi keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.
Program yang menghimpunkan 40 usahawan siswa UPM adalah selaras dengan hasrat UPM untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan mahasiswa serta melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan mampan.
Pengarah program, Lailatul Akmal Awiss berkata, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa meningkatkan keyakinan diri, memperluaskan jaringan profesional serta memupuk minat dalam bidang keusahawanan sejak di bangku universiti.
“Program ini menjadi platform kepada mahasiswa untuk membina keyakinan diri, memperluaskan jaringan serta mengasah minat dalam bidang keusahawanan sebagai persediaan menghadapi cabaran industri,” katanya.
Selain itu, penganjuran program itu turut menekankan kepentingan pembudayaan keusahawanan dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif dan bersedia mendepani landskap pekerjaan masa kini.
Antara tokoh industri yang hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UPM, Mohamad Sabrie Mohamad Salleh, Pengarah Saudagar Asia Sdn. Bhd., Datuk Zafrol Rizal Mat serta Pengarah Urusan Technoriant Sdn. Bhd., Dato’ Bruce Lim Aun Choong.
Program itu juga merupakan kesinambungan kepada Advanced Siswapreneur Program di Pulau Pangkor yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran keusahawanan dan pembinaan jaringan strategik dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, pelajar Tahun Tiga Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), UPM, Mohd Syafiq Sudi berkata, program berkenaan membuka peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan pemain industri dan menimba pengalaman dalam dunia perniagaan.
“Sebagai usahawan pelajar yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman, program ini memberi peluang kepada saya untuk berinteraksi secara langsung dengan pemain industri dan memperoleh pengalaman berharga dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Rakannya, Rabiatul Adawiyah Mohammed Azaruddin berkata, penyertaan dalam program itu memberi pendedahan mengenai realiti industri selain meningkatkan keyakinannya untuk meneroka bidang perniagaan.
“Pendedahan yang diterima melalui program ini membantu meningkatkan keyakinan saya untuk menceburi bidang perniagaan pada masa hadapan,” katanya.




.jpg)

