| Universiti Putra Malaysia

Tengku Permaisuri Selangor berangkat ke Potong-Royong 8.0, sokong agenda kebajikan haiwan

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 22 Ogos – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Program Potong-Royong 8.0, sebuah inisiatif pemandulan kucing yang mengetengahkan kepentingan kebajikan haiwan dan pemilikan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

 

Keberangkatan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ke program berkenaan mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai penjagaan haiwan yang bertanggungjawab, khususnya aspek pemandulan, vaksinasi dan penjagaan kesihatan kucing.

 

Dalam lawatan tersebut, baginda berkenan meninjau pelaksanaan Potong-Royong 8.0 yang dibahagikan kepada lima stesen utama merangkumi proses pendaftaran, identifikasi dan kemasukan kucing, pemeriksaan pra-pembedahan serta persediaan veterinar, persediaan anestesia dan proses pemandulan, pemulihan serta penjagaan pasca-pembedahan, selain lawatan ke reruai penaja dan rakan strategik.

 

Baginda turut berkenan berinteraksi bersama doktor perubatan veterinar, pelajar FPV dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

 

Program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada prosedur pemandulan, malah turut menyediakan ruang pendidikan kepada pemilik dan masyarakat mengenai pemeriksaan kesihatan, penjagaan kucing, kepentingan vaksinasi serta tanggungjawab pemilik dalam memastikan kebajikan haiwan terpelihara.

 

Dekan FPV, UPM, Profesor Dr. Goh Yong Meng, berkata Dekan FPV, UPM, Profesor Dr. Goh Yong Meng berkata, program ini bukan sekadar program pemandulan, sebaliknya menjadi platform pendidikan masyarakat untuk memahami bahawa kebajikan haiwan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

 

“Kebajikan haiwan bukan sekadar memberi makan. Masyarakat juga perlu tahu bagaimana mengendalikan haiwan dengan selamat, mengurus interaksi dengan haiwan serta memahami risiko kesihatan yang mungkin timbul akibat gigitan, cakaran dan penularan penyakit,” katanya.

 

Tambah beliau, penglibatan FPV dalam program berkenaan turut memperlihatkan peranan universiti dalam menghubungkan kepakaran veterinar dengan keperluan masyarakat, khususnya dalam menangani isu haiwan terbiar.

 

“Apa yang kita lakukan di sini ialah menggabungkan kepakaran veterinar, kemudahan, tenaga pelajar, sokongan industri dan rakan strategik untuk menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa pengurusan haiwan terbiar merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

 

Beliau berkata, pemandulan perlu dilihat bersama dengan langkah pencegahan penyakit melalui vaksinasi kerana kedua-duanya menyumbang kepada pengurusan populasi haiwan dan perlindungan kesihatan masyarakat.

 

“Haiwan yang dimandulkan juga perlu diberikan penjagaan kesihatan yang sewajarnya, termasuk vaksinasi. Usaha ini bukan sahaja membantu mencegah penyakit dalam kalangan haiwan, malah berpotensi mengurangkan risiko penyakit yang boleh merebak kepada manusia. Kita berharap Program Potong-Royong 8.0 menjadi pencetus kepada perubahan cara masyarakat melihat dan mengurus haiwan terbiar,” katanya.

 

Pengarah Program Potong-Royong 8.0, Dr. Michelle Fong Wai Cheng, berkata usaha kolaboratif berkenaan bermula pada 2021 susulan kejadian banjir di Hulu Langat yang menyaksikan keperluan terhadap bantuan kepada haiwan turut mendapat perhatian.

 

“Kerjasama ini bermula pada 2021 ketika kejadian banjir di Hulu Langat dan pada ketika itu kami melihat terdapat keperluan untuk melakukan sesuatu bagi membantu haiwan yang terjejas. Daripada usaha awal itu kerjasama ini terus berkembang dan akhirnya menjadi satu inisiatif yang menggabungkan kepakaran veterinar, sukarelawan, pelajar dan pelbagai rakan strategik,” katanya.

 

Beliau berkata, dalam jangka panjang beliau berharap masyarakat dapat melihat pemandulan sebagai satu langkah penting dalam kebajikan haiwan, bukan sekadar prosedur pembedahan dan bertujuan mengurangkan kadar pembiakan haiwan terbiar, malah menjadi medium untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

 

“Apabila lebih ramai pemilik memahami manfaatnya, kita berharap kesedaran ini dapat berkembang dan membantu mengurangkan populasi haiwan terbiar secara berterusan,” katanya.

 

Sementara itu, program tersebut dianjurkan oleh FPV, UPM dengan kerjasama Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor dan Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA).

 

Program itu turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar perubatan veterinar UPM untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran klinikal dalam situasi sebenar, di samping berinteraksi secara langsung dengan komuniti, pengamal veterinar dan sukarelawan.

 

Pelajar Tahun Empat, Program Doktor Perubatan Veterinar, FPV, UPM, Nur Alya Najwa Mohamad Aidil berkata, penglibatan dalam program tersebut memberikan gambaran sebenar mengenai cabaran kos dan pengurusan kebajikan haiwan khususnya bagi pusat perlindungan yang mempunyai kekangan sumber.

 

“Program ini memberi peluang kepada saya melihat realiti sebenar pengurusan kebajikan haiwan termasuk kos yang diperlukan bagi prosedur pemandulan dan penjagaan kesihatan. Pengalaman ini sangat membantu sebagai persediaan sebelum kami melangkah ke alam kerjaya veterinar,” katanya.

 

Bagi pelajar Tahun Satu, Program Doktor Perubatan Veterinar, FPV, UPM, Shubbashini Sayaka, penglibatan dalam program berkenaan memberikan pendedahan awal mengenai pengurusan haiwan dan operasi pemandulan sebelum mereka terlibat secara lebih langsung dalam prosedur klinikal pada tahun pengajian berikutnya.

 

“Sebagai pelajar tahun pertama kami belum terlibat secara langsung dalam bahagian pembedahan tetapi kami dapat melihat bagaimana proses pendaftaran, pengurusan pemilik dan kesedaran masyarakat dilaksanakan. Kerjaya doktor veterinar bukan hanya tentang pembedahan tetapi juga persediaan sebelum prosedur serta penjagaan selepas pembedahan dan pendidikan kepada pemilik,” katanya.

 

XZKKEAe~