| Universiti Putra Malaysia

Penyusuan susu ibu bukan sekadar nutrisi, bantu bina generasi lebih sihat

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi


Foto oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 10 Ogos – Penyusuan susu ibu bukan sahaja membekalkan nutrisi kepada bayi malah mampu memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan kanak-kanak, kesejahteraan keluarga dan produktiviti masyarakat.

 

 

Pakar Klinikal Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Azlina Ab Karim, berkata penyusuan susu ibu merupakan antara asas penting dalam memberikan permulaan kehidupan yang lebih sihat kepada bayi.

 

 

“Manfaat penyusuan susu ibu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana bayi yang mempunyai tahap kesihatan lebih baik berpotensi kurang memerlukan rawatan di hospital, mengurangkan tekanan terhadap ibu bapa serta gangguan terhadap rutin pekerjaan keluarga.

 

 

“Apabila bayi lebih sihat dan kurang memerlukan rawatan di hospital, ibu bapa juga kurang terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit. Dalam jangka panjang, keadaan ini turut memberi kesan positif kepada produktiviti masyarakat dan negara,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Penyusuan Susu Ibu untuk Permulaan Kehidupan yang Mampan: Memperkukuh Amalan yang Berkesan” sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat HSAAS, UPM, di sini.

 

Dr. Siti Azlina berkata, cabaran ibu masa kini untuk meneruskan penyusuan susu ibu khususnya dalam kalangan ibu bekerja, perlu ditangani melalui sokongan keluarga, tempat kerja, petugas kesihatan dan masyarakat.

 

 

“Perkembangan teknologi serta akses kepada maklumat dan kemudahan penyusuan pada masa kini sebenarnya memberi lebih banyak pilihan kepada ibu berbanding dahulu,” katanya.

 

 

Tambah beliau, antaranya termasuk kemudahan mengepam dan menyimpan susu perahan, ruang penyusuan yang sesuai serta pelbagai peralatan yang membantu ibu menguruskan penyusuan ketika bekerja atau berada di luar rumah.

 

 

“Kesedaran perlu terus dibina supaya penyusuan susu ibu menjadi satu amalan yang diterima dan disokong oleh masyarakat. Pada masa yang sama, kita perlu memudahkan perjalanan ibu yang memilih untuk menyusukan bayi mereka,” katanya.

 

 

Dr. Siti Azlina berkata, bahawa pengalaman penyusuan setiap ibu adalah berbeza dan ibu yang berdepan kesukaran untuk menyusukan bayi tidak seharusnya berasa rendah diri atau menganggap diri mereka gagal.

 

 

“Sokongan yang positif amat penting kerana kemampuan dan keadaan setiap ibu berbeza, termasuk faktor kesihatan, perubatan dan fisiologi.

 

 

“Matlamat kita adalah untuk menggalakkan penyusuan susu ibu dengan memberikan maklumat yang sahih dan sokongan yang sewajarnya. Namun, sekiranya berlaku cabaran sepanjang perjalanan itu ibu tidak seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana perjalanan setiap ibu adalah berbeza,” katanya.

 

 

Sementara itu, Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat HSAAS, UPM memperkukuh peranan UPM sebagai institusi pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja memberikan rawatan, malah memperkasa masyarakat melalui pendidikan, advokasi dan sokongan berasaskan ilmu dalam membina generasi yang lebih sihat.

 

 

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HSAAS, UPM, Prof. Madya Dr. Habibah Abdul Hamid, berkata Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia menjadi platform penting untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik demi kesejahteraan ibu, bayi dan keluarga.

 

 

“Sebagai petugas kesihatan, tanggungjawab kita bukan sahaja merawat, tetapi juga mendidik, membimbing dan menyokong setiap ibu agar mereka lebih yakin untuk menyusukan bayi.

 

 

“Setiap nasihat, dorongan dan sokongan yang diberikan mampu menjadi titik perubahan kepada kejayaan perjalanan penyusuan seseorang ibu. Usaha ini penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih sihat dari aspek fizikal, mental dan kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, penganjuran sambutan berkenaan turut mengetengahkan perjalanan HSAAS, UPM ke arah pengiktirafan Hospital Rakan Bayi mencerminkan komitmen itu dalam membangunkan persekitaran penjagaan kesihatan yang lebih kondusif dan mesra penyusuan susu ibu.

 

 

Usaha itu merangkumi pengukuhan pendidikan kesihatan, sokongan kepada ibu sejak kelahiran bayi serta peningkatan kefahaman dalam kalangan petugas kesihatan dan masyarakat mengenai amalan penyusuan yang berkesan.

 

 

Program itu menampilkan forum “Langkah Kecil, Impak Besar: Kuasa Penyusuan Susu Ibu” yang membincangkan peranan sokongan berterusan dalam membantu ibu menjayakan penyusuan serta kesannya terhadap kesihatan ibu, bayi dan keluarga.

 

 

Penyampaian hadiah Pertandingan Video TikTok dan pencarian IKON Breastfeeding turut diadakan sebagai pendekatan kreatif untuk memperluas kesedaran mengenai penyusuan susu ibu.

XZJMGAR~