
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 22 Julai- Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila lima pelajarnya berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan RHB Ocean Harmoni & RHB MySiswa Brand Challenge 2026, baru-baru ini.
Pasukan UPM yang dikenali sebagai Reef-storer terdiri daripada pelajar Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian dari Fakulti Sains, Easwaran A/L Vasudavan, pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Syasya Irdina binti Nurazmin, Russell Tang Hsien Rhon dan Kimberly Megan Theseira serta pelajar Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dari Fakulti Pertanian, Muhammad Solehin bin Mohamad Aseri.
Pasukan Reef-storer mempertandingkan inovasi Bio-Cement Reef Cradle, iaitu struktur terumbu tiruan yang direka bagi menyokong usaha pemulihan terumbu karang dan memelihara biodiversiti marin.
Inovasi tersebut menggabungkan reka bentuk modular dengan teknologi bio-simen berasaskan Microbially Induced Calcium Carbonate Precipitation (MICP) yang menghasilkan bahan menyerupai batu kapur sebagai alternatif lebih mesra alam bagi menyokong pertumbuhan karang serta mewujudkan habitat hidupan marin.

Pertandingan anjuran RHB Bank Berhad yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim selama tiga hari itu bertujuan menggalakkan mahasiswa menghasilkan penyelesaian kreatif dan inovatif dalam aspek literasi kewangan, pembangunan komuniti serta kelestarian alam sekitar.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali, berkata pertandingan tersebut bukan sekadar platform persaingan, malah menjadi medium pembangunan modal insan yang membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, kepimpinan, komunikasi profesional dan kerja berpasukan.
“Melalui program seperti ini, kami berharap lebih ramai mahasiswa berani mengetengahkan idea inovatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menyumbang kepada pembangunan negara dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sepanjang pertandingan, para peserta diberi peluang membangunkan idea, menjalankan penyelidikan dan membentangkan cadangan penyelesaian kepada panel penilai yang terdiri daripada wakil industri dan pakar dalam bidang berkaitan. Program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai penjenamaan, pemasaran, perbankan digital, literasi kewangan serta kepentingan pembangunan mampan.
Pencapaian ini turut membuktikan komitmen UPM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berdaya inovasi, mempunyai semangat kepimpinan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelesaian yang mampan.



.jpg)


