Oleh: Nurul Ezzaty Mohd AZHARI
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 11 Julai - Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) menganjurkan seminar dan pameran 'Herbs for Health and Healing' bagi mengetengahkan perkembangan potensi industri herba di Malaysia.
Presiden PAUPM, Dato’Raihan Sharif berkata objektif utama seminar ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang faedah herba yang terdapat di Malaysia dan potensinya dalam fungsi pemulihan terhadap penyakit yang terpilih.
"Program ini menyediakan platform interaksi antara pihak berkepentingan dalam industri herba dan membantu kerajaan serta agensinya dalam menggubal dan melaksanakan dasar ke arah mencapai pertumbuhan industri herba di Malaysia.
"Walaupun ubat-ubatan moden digunakan secara meluas untuk rawatan namun herba tradisional juga semakin diterima untuk merawat penyakit. Hutan hujan tropika di Malaysia juga menawarkan pelbagai jenis herba dan pengeluaran produk herba untuk perubatan telah dimasukkan ke dalam agenda pembangunan negara kita," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan), Datuk Dr. Nurfariza Ngah berkata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan sebanyak 80 peratus penduduk dunia menggunakan ubatan berasaskan herba.
"Walaubagaimanapun, penggunaan herba sebagai ubat alternatif haruslah dikawal untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak dingini berlaku.
"Terdapat pengeluar ubatan herba yang menggunakan bahan kimia yang terlarang dan merbahaya untuk mendapat kesan yang dinginkan, tapi penggunaan bahan-bahan tersebut adalah tidak selamat," katanya yang turut merasmikan seminar pada hari ini di Auditorium Rashdan Baba UPM, di sini hari ini.
Jelasnya, KKM memandang serius terhadap perkara tersebut dan semua ubatan yang ingin dipasarkan diwajibkan untuk mempunyai kelulusan KKM.

"Sebagai langkah kehadapan, KKM telah melancarkan satu Rangka kerja Penyelidikan (Research Framework) untuk 'Traditional &Complementary Medicine' (T&CM) yang terulung di dunia berserta dengan panduan penyelidikan ubatan herba pada bulan April lalu.
"WHO) mentafsirkan ubatan tradisional sebagai merangkumi ilmu dan kemahiran, amalan sesuatu teori, kepercayaan dan pengalaman setempat dalam sesuatu budaya. Perubatan tradisional sekarang dikawal selia di bawah a k a T&CM 2016 (Akta 775)," katanya.
Dalam pada itu, turut diadakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PAUPM dan Herbagus yang telah disaksikan oleh Naib Canselor UPM Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan), Datuk Dr. Nurfariza Ngah. -UPM






