| Universiti Putra Malaysia

Pakar kesihatan saran kerajaan buat peraturan larangan sementara bagi mengawal kes HFMD

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

 

 

SERDANG, 19 Mei - Mutakhir ini media melaporkan jumlah kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di negara adalah pada kadar membimbangkan berikutan peningkatan kes jangkitan di setiap negeri dan Selangor antara penyumbang terbesar kes ini.

Pada 17 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 4,421 kes, sementara negeri-negeri lain kurang daripada 1,500 kes.

Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata kerajaan boleh mengenakan peraturan larangan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun daripada berada di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan kes HFMD.

"Jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak disebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Tambah beliau, pencemaran silang dari bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau dari kontaminasi dari tangan individu yang tersentuh bendalir tersebut tetapi tidak di cuci bersih memungkinkan peningkatan kes yang mendadak.

Prof. Madya Dr. Malina yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM berkata, ibu bapa atau penjaga yang telah diberi cuti kuarantin perlu amanah dan bertanggungjawab terhadap cuti yang diberikan dan tidak menyalahgunakan cuti seperti pulang ke kampung, bercuti ke tempat peranginan, membeli belah dan sebagainya.

"Dalam masa yang sama, saya mengesyorkan agar kerajaan mengenakan denda kepada ibu bapa yang menyalahgunakan cuti kuarantin yang telah diperoleh. Denda boleh dibuat dalam bentuk potongan elaun oleh majikan atau pembatalan rebat tertentu dalam cukai pendapatan," katanya.

Selain itu, beliau sarankan untuk elakkan kanak-kanak dibawa ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

"Jika mereka tidak prihatin terutama bersifat ala kadar semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku. Tahap kebersihan kanak-kanak juga bergantung oleh ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing.

“Kebersihan tangan terutama selepas membersihkan anak-anak yang membuang air besar perlu menggunakan air dan sabun. Jangan gunakan sanitiser dan tisu basah semata kerana tidak memadai untuk membersihkan ruang permukaan yang perlu dibersihkan," jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin mendapat radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.

Dalam pada itu, kanak-kanak perlu mendapatkan air minuman yang cukup serta Vitamin C untuk menggalakkan sistem imun badan berfungsi secara optima.

Sementara itu, Pakar di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, FPSK, UPM, Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata ibu bapa serta pihak taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak perlu saling memberi kerjasama untuk mengurangkan kes jangkitan HFMD kanak-kanak.

"Pusat jagaan harian dan guru tadika perlu bertegas sekiranya kanak-kanak mempunyai simptom awal HFMD, minta ibu bapa untuk tidak menghantar anak mereka. Ibu bapa pula diminta agar peka memastikan keadaan kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak sekiranya mempunyai gejala awal.

“Mereka perlu memastikan kediaman mempunyai sistem pengudaraan yang baik, kurang melakukan sentuhan fizikal dengan kanak-kanak dan melakukan sanitasi barangan mainan secara harian," katanya. -UPM.

SXDdNAn~