| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM kongsi visi masa depan agromakanan, perkukuh agenda keterjaminan makanan negara di GAVIS 2026

 


Oleh: Noor Eszereen Juferi


Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

PUTRAJAYA, 22 Julai - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, menyampaikan ucaptama pada Global Animal Production and Veterinary Industry Summit (GAVIS) 2026 mengetengahkan peranan universiti dalam menerajui agenda keterjaminan makanan negara dan kelestarian sistem agromakanan global.

 


Persidangan berprestij itu telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

 


Dalam ucaptama bertajuk “Engineering the Agrifood Future: One Voice, One Health, One Future”, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, universiti memainkan peranan penting dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dunia melalui penyelidikan, pendidikan, inovasi, pemindahan ilmu, penglibatan komuniti dan advokasi dasar.

 


“Masa depan sektor agromakanan tidak boleh dibangunkan secara berasingan, sebaliknya memerlukan suara yang bersatu antara universiti, pembuat dasar dan industri. Melalui pendekatan ini universiti komited membina ekosistem agromakanan yang lebih produktif, berdaya tahan dan mampan demi menjamin keterjaminan makanan Malaysia,” katanya.

 


Beliau turut memperkenalkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM yang menggariskan teras strategik, pemacu dan hasil yang menjadi panduan universiti dalam memperkukuh sistem agromakanan negara.

 


Selain itu, Blueprint Planetary Health and Sustainability UPM diketengahkan sebagai asas kepada pembangunan pertanian lestari yang mengimbangi keperluan keselamatan makanan, kesihatan manusia, kesejahteraan haiwan dan kelestarian alam sekitar.

 


Penyertaan UPM dalam persidangan ini memperkukuh kedudukannya sebagai universiti peneraju dalam bidang pertanian, pengeluaran haiwan dan kesihatan veterinar melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi serta jaringan kerjasama strategik di peringkat global.

 


Dalam pada itu, GAVIS 2026 yang bertemakan “One Voice, One Health, One Future”, menjadi platform strategik bagi pertukaran ilmu, pemerkasaan inovasi dan pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran sektor pengeluaran haiwan dan veterinar.

WZIMHAi~