
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 30 November - Menjadi generasi kelapan dalam keluarganya yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM), bukan satu kebetulan bagi Loo Cheng, 25, tetapi satu legasi yang kini diteruskan dalam bidang yang lebih mencabar apabila beliau bergelar graduan Program Doktor Perubatan dan sedang berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah (houseman) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Loo Cheng berkata latar belakang keluarganya yang kuat dengan tradisi UPM menjadi antara faktor penting yang mendorongnya memilih universiti tersebut sebagai destinasi pengajian tinggi.
“Ibu bapa saya merupakan alumni UPM dan mereka dahulu menuntut di Fakulti Pengajian Pendidikan. Selain itu, saya juga mempunyai tiga ibu saudara dan dua bapa saudara yang menamatkan pengajian di UPM.
“Saya pula generasi pertama dalam keluarga yang memilih bidang perubatan, berbekalkan minat dan keinginan mendalam terhadap profesion ini,” katanya.

Bagi Loo Cheng, legasi keluarga bukan sekadar menyambung pengajian di universiti yang sama, tetapi melakukan sesuatu yang mampu membanggakan mereka.
“Apabila keluarga hadir ke majlis konvokesyen saya, ia mengembalikan nostalgia zaman pengajian mereka dahulu di sini. Itu memberikan saya satu perasaan yang sangat istimewa,” ujarnya.
Namun, perjalanan sebagai pelajar perubatan di UPM tidak mudah, khususnya ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang mengubah hampir keseluruhan ekosistem pembelajaran dan latihan klinikal.
“Fasa pandemik merupakan antara detik paling mencabar dalam pengajian saya kerana banyak perkara berubah secara drastik. Kaedah pembelajaran, sesi klinikal dan interaksi dengan pesakit semuanya memerlukan penyesuaian yang sangat cepat.
“Pengalaman itu jugalah yang menguatkan saya sehingga berjaya menamatkan pengajian, ditambah dengan sokongan penuh daripada seluruh keluarga,” katanya.
Kejayaan Loo Cheng bukan sahaja mencerminkan ketekunan dan disiplin dirinya sebagai pelajar perubatan, malah mengukuhkan lagi legasi keluarga di UPM yang telah berlanjutan selama lapan generasi.
Kini, beliau memasuki fasa awal kerjaya sebagai houseman di PPUM, membuka peluang untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari, menambah pengalaman klinikal dan memberi khidmat kepada pesakit serta masyarakat.
“Saya berharap generasi akan datang bekerja keras untuk mengejar impian mereka. Perjalanan itu memang tidak mudah, tetapi akhirnya pasti berbaloi,” tambahnya.



.jpg)


