Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 12 Jun – Inovasi dalam bidang aeroangkasa bukan sahaja berperanan memajukan industri penerbangan dan angkasa lepas malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan teknologi mampan yang memberi manfaat kepada sektor pembinaan, perubatan dan tenaga.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib, berkata teknologi aeroangkasa merupakan antara teknologi paling maju yang dibangunkan manusia dan pelbagai inovasi yang dihasilkan untuk industri tersebut kini berjaya diterjemahkan ke sektor lain.
“Teknologi salutan bahan termaju yang dibangunkan untuk melindungi enjin pesawat kini turut berpotensi digunakan dalam sektor pembinaan melalui penghasilan bahan tahan haba yang meningkatkan kecekapan tenaga bangunan,” katanya.
“Begitu juga teknologi aliran bendalir dan aerodinamik yang pada asalnya dibangunkan untuk aplikasi aeroangkasa kini dimanfaatkan dalam pembangunan peranti perubatan,” katanya dalam Syarahan Inaugural beliau bertajuk Aerospace Innovations for Sustainable Future, di sini.
Beliau turut berkongsi kejayaannya menghasilkan beberapa inovasi terdahulu, antaranya Safety Syringe dan SJ-VacTube, iaitu tabung darah vakum tanpa tebuk yang pertama seumpamanya di negara ini. Inovasi tersebut dibangunkan berasaskan teknologi aeroangkasa dan telah berjaya dikomersialkan melalui Putra Science Park (PSP), UPM serta kini digunakan dalam sektor kesihatan.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa teknologi aeroangkasa bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam sektor perubatan malah berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai sektor lain,” katanya.
Selain itu, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, yang juga merupakan Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, UPM serta pakar dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa turut menekankan peranan penyelidikan aeroangkasa dalam menyokong agenda tenaga hijau dan kelestarian global.
Beliau juga menegaskan kepentingan agenda kelestarian dalam industri aeroangkasa yang selaras dengan aspirasi Blueprint Aeroangkasa Negara yang diperkenalkan sejak tahun 2015.
Katanya, penyelidikan yang dijalankan memberi tumpuan kepada pembangunan bahan api alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, termasuk penghasilan Sustainable Aviation Fuel (SAF) berasaskan sumber boleh diperbaharui seperti kelapa sawit dan alga.
“Melalui kerjasama antara Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan dan Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM, kami telah menjalankan pelbagai ujian terhadap bahan api mampan dan mendapati prestasinya setanding dengan bahan api fosil konvensional. Penggunaan bahan tambahan nanopartikel dalam campuran bahan api menunjukkan potensi meningkatkan kecekapan enjin serta mengurangkan pelepasan pencemar,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan SAF mampu mengurangkan sehingga 80 peratus pelepasan karbon dioksida berbanding bahan api penerbangan konvensional.
Bagaimanapun, Profesor Ir. Dr. Abd. Rahim berpandangan, industri aeroangkasa perlu meneroka teknologi yang lebih bersih, termasuk penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga masa hadapan.
“Pembakaran hidrogen menghasilkan wap air dan hampir tiada pelepasan karbon. Justeru, banyak makmal penyelidikan terkemuka di seluruh dunia sedang mempergiat usaha membangunkan teknologi penerbangan berasaskan hidrogen bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya.
Selain bahan api mampan, beliau berkata perkembangan teknologi bahan aeroangkasa seperti salutan aerogel dan struktur komposit yang berupaya meningkatkan kekuatan serta keselamatan pesawat.
“Penyelidikan dalam bidang pemindahan haba dan aliran bendalir termasuk penggunaan nanobendalir, kristal cecair termokromik dan teknologi penyejukan inovatif yang dapat meningkatkan prestasi enjin serta kecekapan operasi penerbangan,” katanya.
Profesor Ir. Dr. Abd. Rahim berkata, walaupun proses pensijilan dalam industri aeroangkasa memerlukan tempoh yang panjang dan pematuhan kepada piawaian ketat pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, namun hasil penyelidikan yang dijalankan di UPM telah menyumbang kepada pembangunan ekosistem bahan api penerbangan mampan negara.
“Walaupun impak langsung mungkin tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek hasil kajian yang dijalankan menjadi rujukan kepada pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan dan menggunakan bahan api aeroangkasa yang lebih lestari,” katanya.
“Penyelidikan yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM bukan sahaja memajukan bidang aeroangkasa malah menyumbang kepada usaha memelihara kelestarian planet untuk generasi akan datang,” katanya.






