Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

SERDANG, 1 Disember – Komitmen seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kembali berkhidmat sebagai pegawai dan jurulatih Kor Sukarelawan Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA) selepas tamat pentauliahan membuktikan bahawa penglibatan dalam badan beruniform bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya medan sebenar membina jati diri, disiplin dan kepimpinan belia.
Lt. M (PA) Ku Siti Maryam Ku Amri, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Arab dengan Kepujian dan Alumni Kor SISPA UPM, memilih untuk terus bersama SISPA sebagai jurulatih sebaik sahaja menamatkan pengajian, demi “membayar semula” apa yang telah dibentuk dalam dirinya sepanjang bergelar pegawai kadet.
“Keinginan untuk berbakti semula tidak pernah padam. Apabila diberi peluang kembali sebagai jurulatih, saya anggap ini ruang untuk membalas jasa dan ilmu yang saya terima sewaktu menjadi kadet,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan awalnya sebagai Pegawai Kadet SISPA membuka pintu kepada dunia pertahanan awam dan pengurusan bencana, sekali gus menanam kecintaan terhadap isu kesiapsiagaan bencana, keselamatan awam dan kepimpinan belia.

Sebagai jurulatih, beliau menegaskan tugasnya bukan hanya tertumpu kepada latihan kawad atau penyampaian teori di dalam kelas, sebaliknya membentuk sahsiah dan karakter pelajar.
“Kami bukan sekadar melatih mereka berdiri tegak di padang kawad. Matlamat utama ialah memastikan setiap kadet membawa nilai Kor SISPA ke dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Mengimbau zaman pengajian, beliau mengakui mengimbangi komitmen akademik dengan latihan SISPA merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi.
“Jadual kuliah dan latihan kadang-kadang bertembung, ditambah pula dengan tugasan akademik. Tetapi di situlah saya belajar menjadi lebih cekap mengurus masa, teratur dan berdisiplin,” katanya.
Menurutnya, perubahan generasi juga menuntut pendekatan latihan yang lebih dinamik.
“Generasi hari ini pantas berubah, jadi pendekatan latihan juga perlu kreatif tanpa mengabaikan matlamat utama, iaitu membina daya tahan, disiplin dan kesediaan kadet untuk berdepan situasi sebenar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga yang menjadi sumber dorongan utama, selain pegawai kanan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan jurulatih SISPA yang banyak membimbingnya.
“Saya juga amat terharu dengan kehadiran warga Kor SISPA UPM yang datang menyokong pada Majlis Konvokesyen. Ia membuktikan bahawa hubungan dalam SISPA adalah sebuah keluarga, bukan sekadar organisasi,” katanya.
Ku Siti Maryam dalam pada itu menyeru pelajar agar tidak memandang ringan penglibatan dalam badan beruniform seperti SISPA yang menurutnya memainkan peranan penting melengkapkan diri graduan untuk dunia sebenar.
“Ilmu yang anda pelajari di kelas melengkapkan anda untuk kerjaya, tetapi latihan dalam SISPA melengkapkan anda untuk kehidupan sebenar,” tegasnya.



.jpg)


