Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 3 Disember - Di sebalik tekanan pengajian peringkat Master dan komitmen kerja, graduan Master Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Ts. Shahrul Hazman Shamshudeen membuktikan beliau berjaya bergraduat pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 2, hari ini.
Shahrul Hazman, 44, memulakan pengajian ketika ibunya diserang strok pada tahun 2022. Sebagai anak lelaki tunggal daripada tiga beradik, beliau memikul tanggungjawab utama menguruskan rawatan, pemeriksaan susulan serta rutin penjagaan harian ibu.
“Pada Jun lalu, ketika saya berada di fasa akhir penulisan tesis, keadaan ibu tidak stabil dan perlu dimasukkan ke hospital. Saya memang bimbang kerana takut tidak sempat menyiapkannya, namun saya kuatkan semangat demi keluarga,” katanya.
Dalam penyelidikannya bertajuk “Interactive Evaluation of Large Language Models Generated Responses of Depression, Anxiety and Stress Scales (DASS-21) Assessments”, Shahrul membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) kesihatan mental yang membantu pelajar dan Kaunselor UPM menilai respons soal selidik DASS-21 secara automatik, termasuk mengenal pasti tahap stres, kebimbangan dan kemurungan.
Tambah beliau, idea itu timbul selepas melihat isu kesihatan mental yang semakin kritikal dalam kalangan pelajar universiti.
“Sistem ini boleh menjana markah serta menerangkan tahap stres pelajar secara automatik, malah turut mencadangkan langkah intervensi awal. Ia memudahkan kaunselor membuat keputusan dan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kesihatan mental,” katanya.
Shahrul yang telah berkhidmat hampir 12 tahun sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di UPM berkata, perkembangan teknologi AI membuka ruang baharu untuk meningkatkan kecekapan kerja harian.
“Dengan kajian ini saya dapat meneroka bagaimana AI boleh dimanfaatkan untuk tugasan kerja dan kehidupan kita,” katanya.
Berasal dari Kota Bharu, Kelantan beliau berkata gelaran Alumni UPM sebagai sesuatu yang amat bermakna dan akan memanfaatkan segala ilmu dipelajari dalam kerjayanya.
“Saya mahu rasa kebersamaan sebagai alumni dan memperoleh ilmu bukan sekadar datang daripada kerja tetapi melalui pakar dan pengalaman akademik. Saya mahu menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja dan keluarga bahawa saya berjaya menamatkan pengajian saya,” katanya.



.jpg)


