| Universiti Putra Malaysia

Graduan jangan lupa pengorbanan ibu bapa dan keluarga - Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Mohd. Zohadie Bardaie

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 30 November - Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diingatkan supaya tidak sesekali melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang menjadi tunjang utama kepada kejayaan mereka, lebih-lebih lagi ketika mereka diraikan pada majlis konvokesyen di universiti selepas bergraduasi.

 

Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Mohd. Zohadie Bardaie, berkata kejayaan yang dikecapi hari ini seharusnya menjadi titik tolak untuk graduan memberi sumbangan lebih besar kepada keluarga, masyarakat dan negara, sejajar dengan kedudukan UPM yang kini berada pada ranking ke-134 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2026.

“Dengan semangat Jiwa Putra dan slogan Berilmu Berbakti, gunakanlah bakat serta kebolehan yang dipelajari di UPM untuk memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada Sesi 2, Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

 

Beliau menegaskan, di sebalik kejayaan akademik, graduan tidak boleh lupa bahawa doa, sokongan moral dan pengorbanan kewangan ibu bapa serta ahli keluarga menjadi faktor penting yang memungkinkan mereka sampai ke pentas konvokesyen.

 

“Harapan saya, pengalaman di UPM akan menjadi tempoh kehidupan yang paling bermakna dalam diri setiap graduan. Jadikan segala ilmu dan kemahiran yang dipelajari sebagai bakat yang membentuk karakter untuk menjadi warganegara yang berdaya tahan dan berintegriti,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai pencapaian universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Mohd. Zohadie melahirkan rasa bangga dengan kejayaan UPM yang terus mengukuhkan kedudukan di persada antarabangsa apabila dinobatkan di tangga ke-134 dunia dalam QS WUR 2026, sekali gus mengekalkan momentum peningkatan selama tiga tahun berturut-turut.

“Peningkatan ini didorong oleh dua indikator utama, iaitu Reputasi Akademik dan Sitasi per Fakulti. Ini mencerminkan pengiktirafan yang semakin tinggi daripada komuniti akademik serantau dan global terhadap keunggulan pengajaran dan pembelajaran oleh para akademia UPM,” katanya.

 

Beliau menambah, pencapaian itu bukan sahaja mengangkat nama universiti, malah memberikan nilai tambah kepada ijazah yang diterima graduan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan keyakinan majikan terhadap mereka.

 

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru graduan supaya terus mengekalkan hubungan dengan alma mater dan kembali menyumbang dalam bentuk kepakaran, jaringan dan kolaborasi industri pada masa hadapan.

 

“UPM telah menyediakan platform, ilmu dan ruang untuk saudara-saudari membina masa depan. Tamatnya pengajian bukan bermakna tamatnya hubungan dengan UPM. Jadilah duta universiti yang berwibawa di mana jua anda berada,” katanya.

 

XZKHFA~