Oleh Syahrul Hakim Fauzi

Serdang, 3 Disember 2025 - Mengimbangi kehidupan sebagai atlet, pelajar, suami, dan bapa muda bukanlah perkara mudah, namun itulah realiti yang dihadapi Muhammad Arif Shafie Bin Ishak, 25 tahun, graduan Bachelor Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM). Arif berjaya menamatkan pengajian bersama isterinya yang mengikuti bidang sama, yang juga merupakan atlet bowling, menjadikan perjalanan akademik dan sukan mereka lebih istimewa.
Arif sudah aktif dalam sukan sejak sekolah rendah dan terus menonjol dalam hoki sehingga menyambung pengajian di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor. Beliau terus mengekalkan kecemerlangan sehingga melanjutkan pengajian di UPM atas tiket atlet. Beliau bertemu dengan isterinya semasa di sekolah sukan, dan hubungan mereka berterusan sehingga ke universiti.
“Kita perlu bahagikan masa dengan latihan dan belajar dengan betul,” katanya, menekankan kepentingan pengurusan masa yang baik bagi mengekalkan prestasi akademik dan sukan.Hari-hari Arif padat dengan latihan pagi dan petang serta kelas tengah hari dan malam, terutama selepas isteri melahirkan anak mereka ketika mereka berada di semester lima.
Cabaran paling besar datang apabila beliau perlu menjaga anak sambil menyokong isteri yang kembali menghadiri kelas. Arif terpaksa menunggu di dalam kereta di kawasan parkir fakulti untuk menenangkan atau memberi susu kepada anak apabila diperlukan. “Sebagai suami dan seorang ayah, itu bukanlah perkara yang mudah untuk saya hadapi cabaran seperti ini,” katanya. Pengalaman menjaga anak sambil belajar dan berlatih memberi kepuasan dan kegembiraan tersendiri bagi beliau. Keberhasilan Arif dalam sukan juga membolehkan beliau menyara keluarga. “Dengan sukan hoki ni lah saya dapat gaji tetap bulan untuk tanggung isteri dan anak saya,” jelas beliau.

Kenangan manis beliau dalam sukan hoki 5s termasuk mendapat tempat ke-4 di Pertandingan Hoki 5s Piala Asia, memenangi pingat emas bersama skuad remaja Malaysia di Youth Olympic 2018 Buenos Aires di Argentina dan membawa pasukan negara ke final serta meraih pingat perak dalam FIH Hockey5s World Cup 2024. Selain itu, beliau juga cemerlang bersama rakan sepasukan dengan meraih emas dalam Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), dan Sukan Malaysia (SUKMA).
Bercakap mengenai masa depan, Arif berhasrat mendapatkan pekerjaan dalam bidang komunikasi dan sukan, dengan impian bekerja di Majlis Sukan Negara. Sokongan isteri dan keluarga menjadi kekuatan utama beliau, terutama ketika menghadapi kehilangan ayah pada usia 21 tahun semasa berada di London menghadiri perlawanan hoki. “Dia isteri sahaja yang ada bersama saya dan mak saya,” katanya. Arif menegaskan bahawa pengalaman menguruskan tanggungjawab sebagai suami, bapa, pelajar, dan atlet memberi kepuasan dan kegembiraan yang tidak ternilai. “Saya nak ucapkan terima kasih kepada isteri,anak mahupun keluarga saya,” tambah beliau.



.jpg)


