
SERDANG, 11 Julai - Duta Besar Perancis ke Malaysia, TYT Marc Abensour menyatakan minat untuk mendapatkan bekalan makanan segar daripada ladang Universiti Putra Malaysia (UPM), selain meneroka potensi kerjasama pertandingan kulinari berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membabitkan pelajar Malaysia dan Perancis.
Hasrat itu disampaikan ketika beliau bersama delegasi Kedutaan Perancis mengadakan kunjungan hormat ke Ladang Bersepadu Puchong yang diuruskan oleh Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada delegasi meninjau ekosistem pertanian bersepadu UPM yang merangkumi pengeluaran tanaman, pengurusan dusun buah-buahan dan aktiviti akuakultur.
Delegasi disambut oleh Pengarah PPP, Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Sakimin, bersama barisan pengurusan pusat berkenaan sebelum dibawa melawat beberapa lokasi utama di sekitar ladang.

Sepanjang lawatan, delegasi diberikan penerangan mengenai kemudahan, aktiviti pengeluaran serta pembangunan pertanian yang dilaksanakan UPM bagi menyokong pembelajaran, penyelidikan dan penghasilan makanan berkualiti.
Marc menunjukkan minat khusus terhadap pembangunan tanaman durian dan meluangkan masa meninjau kawasan dusun bagi melihat sendiri kaedah pengurusan serta potensi hasil buah berkenaan.
Beliau dan delegasi turut melawat kawasan akuakultur untuk memahami aktiviti ternakan ikan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada model pertanian bersepadu di ladang tersebut.
Profesor Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Prof. Dr. Muhammad Shahrim Ab Karim turut mengiringi lawatan dan berkongsi penerangan mengenai hasil pertanian UPM, kualiti makanan serta khasiatnya kepada kesihatan manusia.
Sebelum mengakhiri kunjungan, delegasi berpeluang menikmati buah-buahan tempatan termasuk durian yang dihasilkan di Ladang Bersepadu Puchong.

Lawatan itu membuka ruang kepada UPM dan Kedutaan Perancis untuk meneroka kerjasama dalam bidang pertanian, bekalan makanan segar dan pembangunan bakat kulinari menerusi TVET.
Ia juga memperlihatkan peranan UPM sebagai universiti peneraju pertanian negara yang menghubungkan kepakaran akademik, penyelidikan, latihan dan pengeluaran makanan bagi menyokong agenda keterjaminan makanan serta kerjasama antarabangsa.



.jpg)


