| Universiti Putra Malaysia

Dua pensyarah UPM perkasa penyelidikan matematik Malaysia di ICM 2026, Amerika Syarikat

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 11 Ogos – Penyelidikan matematik Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila dua Pensyarah Kanan, Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, UPM, Dr. Nur Syahirah Wahid dan Dr. Yow Kai Siong, terpilih membentangkan hasil penyelidikan pada International Congress of Mathematicians (ICM) 2026 di Philadelphia, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

 

Kedua-dua pensyarah berkenaan turut terpilih menerima ICM 2026 Travel Support Program yang dikendalikan oleh American Mathematical Society (AMS) dengan pembiayaan daripada Simons Foundation.

 

Selain itu, penyelidikan yang dibentangkan Dr. Nur Syahirah merupakan sebahagian daripada projek tahun akhir pelajar prasiswazah di bawah seliaannya, memperlihatkan bagaimana penyelidikan di peringkat pengajian prasiswazah UPM berpotensi diketengahkan kepada komuniti matematik antarabangsa.

 

Beliau berkata, penyelidikan bertajuk “Magnetohydrodynamics Ternary Hybrid Nanofluid Flow over a Permeable Moving Surface” itu berada dalam bidang matematik gunaan, khususnya dinamik bendalir dan pemindahan haba.

 

“Secara ringkasnya kajian ini melibatkan pembangunan model matematik bagi mewakili sesuatu fenomena fizikal, memformulasikan persamaan yang berkaitan dan menyelesaikannya menggunakan kaedah matematik serta kaedah berangka.

 

“Daripada penyelesaian tersebut kami mentafsir hasil yang diperoleh untuk memahami tingkah laku sistem yang dikaji,” katanya.

 

Tambah beliau, kajian itu memberi tumpuan kepada ternary hybrid nanofluid, iaitu bendalir yang mengandungi gabungan beberapa jenis nanopartikel, selain meneliti kesan parameter seperti medan magnet, pergerakan permukaan dan sifat permukaan terhadap tingkah laku aliran serta pemindahan haba.

 

“Peluang membentangkan kajian ini di ICM 2026 membolehkan saya berkongsi hasil penyelidikan dengan komuniti matematik antarabangsa, di samping bertemu dan berinteraksi dengan ahli matematik dari seluruh dunia.

 

“Pengalaman ini membuka perspektif yang lebih luas tentang matematik sebagai satu disiplin ilmu, khususnya bagaimana idea, teori, struktur, pembuktian dan pemikiran matematik dihargai serta dikembangkan dalam pelbagai cabang,” katanya.

 

Sementara itu, Dr. Yow Kai Siong membentangkan penyelidikan bertajuk “D&A: Resource Optimisation in Personalised PageRank Computations Using Multi-Core Machines” yang menggabungkan pengiraan graf dan pengoptimuman sumber bagi menangani persoalan praktikal dalam pemprosesan pertanyaan Personalised PageRank berskala besar.

 

Menurut beliau, kajian tersebut memberi tumpuan kepada kaedah menentukan jumlah teras pengkomputeran yang sesuai bagi memproses pertanyaan Personalised PageRank dalam tempoh masa yang ditetapkan.

 

“Kerangka D&A yang dibangunkan menunjukkan bahawa sumber pengkomputeran yang digunakan dapat dijimatkan dengan ketara, di samping memenuhi keperluan masa pemprosesan yang ditetapkan,” katanya.

 

Beliau berkata, penyertaan dalam ICM 2026 sebagai pengalaman yang amat bermakna kerana berpeluang berada dalam komuniti ahli matematik dari seluruh dunia dan menyaksikan perkembangan serta keluasan bidang matematik moden.

 

“Antara pengalaman paling istimewa ialah berpeluang menyaksikan sendiri majlis penganugerahan Fields Medal serta berada bersama ribuan ahli matematik dan menyaksikan detik bersejarah itu meningkatkan lagi penghargaan saya terhadap keindahan serta impak penyelidikan matematik,” katanya.

 

Dalam pada itu, ICM merupakan antara perhimpunan paling berprestij dalam komuniti matematik antarabangsa dan dianjurkan setiap empat tahun oleh International Mathematical Union (IMU).

 

Kongres berkenaan menghimpunkan ahli matematik dari seluruh dunia bagi membentangkan hasil penyelidikan, berkongsi perkembangan terkini dalam pelbagai cabang matematik serta memperkukuh jaringan dan kerjasama penyelidikan antarabangsa.

XZJMGAP~