| Universiti Putra Malaysia

Delegasi JBNU Korea Selatan adakan kunjungan hormat ke UPM, fokus kepada pencapaian QS Rankings

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 26 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan hormat delegasi Jeonbuk National University (JBNU), Korea Selatan yang diketuai oleh Executive Vice President, Prof. Dr. Lee Johnhwa. Delegasi tersebut disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi.

 

Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha JBNU meningkatkan kedudukan dalam QS World University Rankings, dengan UPM berkongsi pengalaman serta pandangan berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam penarafan berprestij itu.

 

Kedua-dua pihak turut membincangkan indikator utama QS World University Rankings, termasuk kepentingan strategi berkesan bagi mendapatkan data yang tepat serta keperluan memperkukuh pengiktirafan universiti di peringkat global.

 

Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara UPM dan JBNU, sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021–2025, khususnya dalam merealisasikan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjana Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari serta memperkasakan bidang pertanian dan keterjaminan makanan.

 

JBNU, salah sebuah daripada 10 universiti kebangsaan di Korea yang terletak di wilayah barat daya negara itu, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan UPM sejak lebih 10 tahun lalu. Kerjasama tersebut turut diperkukuh melalui program pertukaran pelajar yang telah dilaksanakan sejak enam tahun kebelakangan ini.

 

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi; Timbalan Pengarah (Data Korporat), Prof. Madya Dr. Masrah Azrifah Azmi Murad serta pegawai-pegawai PSPK, UPM.

XZKMIAQ~