
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
SERDANG, 25 Mei – Kepercayaan bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam membentuk masa depan seseorang menjadi pemangkin kepada perjalanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Makmal Perkembangan Kanak-Kanak (MPK), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhayatul Nira Ramli dalam dunia pendidikan.
Beliau yang telah berkhidmat sejak tahun 2007 dan aktif memperkasa pendidikan awal kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran kreatif dan inovatif.
Dedikasi beliau dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran kreatif dan inovatif turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Guru Inovatif Individu Prasekolah Swasta sempena Majlis Anugerah Guru bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026, baru-baru ini.
Nurhayatul Nira memberi fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak khususnya dalam aspek pembelajaran kreatif, pembelajaran berasaskan bermain, STEM awal kanak-kanak serta pembangunan modul dan inovasi pendidikan prasekolah.
Menurut beliau, minat terhadap bidang tersebut lahir daripada keyakinan bahawa usia awal kanak-kanak merupakan fasa paling penting dalam pembentukan asas kehidupan seseorang individu.
“Pengalaman pembelajaran yang positif pada usia kecil mampu membentuk keyakinan diri, kreativiti, emosi, sosial dan cara berfikir kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, dunia pendidikan sentiasa berkembang dan pendidik perlu sentiasa kreatif dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, bermakna dan relevan dengan perkembangan semasa.
“Sebagai pendidik, saya sangat terinspirasi apabila melihat kanak-kanak belajar melalui pengalaman sebenar, eksplorasi dan aktiviti yang dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.
Dedikasi dan komitmen Nurhayatul Nira dalam menghasilkan pengalaman pembelajaran kreatif turut membawa kepada pembangunan pedagogi projek pembelajaran berasaskan alam dan tanaman bandaran dikenali sebagai “VeggieNest”.
Menurut beliau, inovasi tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak belajar melalui pengalaman sebenar, malah turut menerapkan elemen ESG (Environmental, Social and Governance) dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Kanak-kanak didedahkan dengan penjagaan alam sekitar, amalan hijau dan tanaman lestari selain memupuk nilai kerjasama, komunikasi, disiplin dan tanggungjawab melalui aktiviti harian,” katanya.

“Inovasi tersebut menggabungkan elemen STEM, pembelajaran multimodal, fungsi eksekutif, pembelajaran melalui bermain serta pendidikan lestari dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Melalui projek ini, kanak-kanak bukan sahaja belajar tentang menanam sayur atau menjaga tanaman, tetapi mereka juga belajar tentang nilai tanggungjawab, kerjasama, disiplin dan rasa sayang terhadap alam sekitar,” katanya.
Menariknya, inovasi tersebut turut mengintegrasikan penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pembelajaran melalui aplikasi seperti PlantParent dan iNaturalist bagi membantu kanak-kanak mengenali tumbuhan serta memantau perkembangan tanaman mereka.
Beliau berkata, penggunaan teknologi tersebut membantu mewujudkan suasana pembelajaran digital yang lebih interaktif dan bermakna selain menjadikan kanak-kanak lebih suka meneroka dan membuat pemerhatian secara saintifik.
“Bagi saya inovasi seperti ini sangat penting kerana ia bukan sahaja memberi pengetahuan akademik kepada kanak-kanak, tetapi turut membentuk kemahiran hidup, karakter dan kesedaran terhadap tanggungjawab mereka sebagai generasi masa hadapan.
“Pendekatan ini juga secara tidak langsung menyokong beberapa matlamat Sustainable Development Goals (SDG) termasuk Pendidikan Berkualiti dan Tindakan terhadap Perubahan Iklim,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran sepanjang menghasilkan inovasi tersebut, beliau berkata persepsi masyarakat terhadap pembelajaran melalui bermain antara perkara yang perlu diberi perhatian.
“Ada kalanya pendekatan inovatif dianggap hanya bermain sedangkan sebenarnya ia mempunyai objektif pembelajaran yang sangat mendalam dan memberi kesan besar terhadap perkembangan kanak-kanak.
“Cabaran tersebut menjadi motivasi untuk saya terus memperbaiki pendekatan dan membuktikan bahawa pembelajaran kreatif dan inovatif mampu menghasilkan impak yang sangat positif kepada kanak-kanak,” katanya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang pendidikan, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan antaranya penglibatan dalam Anugerah Guru Terbaik Asia 2024, pengiktirafan sebagai Microsoft Innovative Educator Expert (MIEE) serta wakil United Nation dalam Global School Program.
Nurhayatul Nira berkata, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha individu semata-mata sebaliknya didorong sokongan pelbagai pihak termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), warga Makmal Perkembangan Kanak-Kanak, keluarga dan rakan-rakan pendidik.
Beliau turut berharap lebih ramai pendidik pendidikan awal kanak-kanak terus berani menjadi kreatif, inovatif dan terbuka dalam meneroka pendekatan pembelajaran baharu.
“Jangan pernah berhenti belajar dan jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Inovasi tidak semestinya besar atau canggih, tetapi sesuatu yang mampu memberi impak positif kepada pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak,” katanya.




.jpg)

