
Oleh: Zarith Sofea Ibrahim
Foto oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 20 Mei – Budaya kerja yang berasaskan amanah, keikhlasan dan semangat untuk sentiasa memberi lebih daripada yang diharapkan menjadi prinsip utama Profesor Dr. Amin Ismail sepanjang sepanjang perjalanan beliau dalam dunia akademik dan kepimpinan universiti.
Pengiktirafan melalui Anugerah Fellowship Naib Canselor (Anugerah Khas Akademia Putra 2025) yang diterimanya pada Majlis Gemilang Putra 2026 yang berlangsung semalam menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kecemerlangan akademik serta budaya kualiti universiti.
Pensyarah Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, pengiktirafan tersebut bukanlah hasil usaha individu semata-mata sebaliknya didorong sokongan rakan sekerja serta kemudahan yang disediakan universiti sepanjang perjalanan kerjayanya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada UPM serta semua rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang perjalanan kerjaya saya. Sebagai pensyarah, kita memikul amanah dan tanggungjawab yang besar.
“Kita perlu lakukan lebih daripada apa yang ditetapkan dan bukan hanya bekerja untuk memenuhi KPI semata-mata,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap tugas perlu dilakukan dengan penuh minat, semangat dan keikhlasan supaya hasil kerja yang diberikan mampu memberi manfaat kepada universiti, pelajar dan masyarakat.
“Kalau kita buat sesuatu dengan rasa suka dan semangat kita tidak akan mudah penat. Kita juga tidak akan berkira tentang masa dan tenaga yang dicurahkan,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya, Prof. Dr. Amin berkata antara cabaran terbesar yang pernah dihadapi ialah ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Jaminan Kualiti universiti yang memerlukan beliau memastikan sistem pengurusan dan budaya kerja warga universiti sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Cabarannya ialah memastikan budaya kerja dan sistem kualiti universiti sentiasa dipatuhi dengan baik, bukan sekadar kerana ISO tetapi kerana tanggungjawab kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada universiti,” katanya.
Beliau bagaimanapun percaya setiap cabaran perlu dilihat dari sudut positif kerana ia mampu mematangkan seseorang untuk terus maju ke hadapan.
“Kalau tidak ada cabaran kita tidak akan berkembang. Jangan lari daripada masalah tetapi cuba selesaikannya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata pencapaian berkaitan jaminan kualiti akademik dan pengiktirafan yang diterima universiti sebagai antara sumbangan paling bermakna sepanjang berkhidmat di UPM.
Dalam masa sama, Prof. Dr. Amin menekankan bahawa warga akademik dan bukan akademik memainkan peranan penting dalam memberi impak kepada masyarakat dan negara melalui kepakaran masing-masing.
“Kita bukan sahaja memberi sumbangan kepada UPM tetapi juga kepada pelajar dan masyarakat luar dalam pelbagai bentuk mengikut bidang kepakaran masing-masing.

“Apabila kita bekerja dengan ikhlas dan memberikan yang terbaik, insya-Allah akan ada kepuasan dan penghargaan yang datang kemudian,” katanya.
Beliau juga menasihatkan generasi pensyarah dan penyelidik muda agar sentiasa bekerja dengan penuh semangat serta tidak terlalu berpaksikan kepada KPI semata-mata.
“Buat sesuatu dengan jiwa dan minat. Jika kita suka dengan apa yang dilakukan, kita akan sentiasa mahu memberikan yang terbaik.
“Apa sahaja amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana itu merupakan tanggungjawab kita,” katanya.





.jpg)
