| Universiti Putra Malaysia

“72 tahun, masih dahaga ilmu” – Joseph Kannesan buktikan usia bukan penghalang di UPM Sarawak

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim





BINTULU, 1 November – Usia bukan penghalang untuk terus belajar, sebaliknya satu peluang untuk berkongsi pengalaman dan menimba ilmu baharu. Itulah pegangan hidup Joseph Kannesan, 72, yang membuktikan semangat menuntut ilmu tidak pernah pudar apabila memilih untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Sains Pertanian (Agronomi) di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).

Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang agronomi, beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai penyelidik di sebuah institut pertanian sebelum beralih ke sektor swasta sebagai perunding agronomi. Kini, beliau mengetuai pasukan teknikal yang memberi khidmat nasihat kepada petani di dalam dan luar negara.

“Saya kembali ke dunia akademik bukan semata-mata untuk mendapatkan kelayakan, tetapi kerana mahu menyumbang kembali kepada ilmu serta membantu generasi muda memahami kepentingan pertanian lestari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1, di sini hari ini.





Joseph berkata, keputusan untuk kembali belajar pada usia emas berpunca daripada minat mendalam terhadap penyelidikan dan pembangunan sektor agronomi yang semakin penting dalam menghadapi cabaran global.

“Cabaran terbesar petani dan penyelidik hari ini ialah perubahan iklim, kekurangan tenaga kerja mahir, dan peningkatan kos input pertanian. Penyelidik perlu memastikan inovasi mereka praktikal dan dapat dimanfaatkan di lapangan,” ujarnya.

Menurutnya, UPMS menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif bagi penyelidikan dan kolaborasi, bukan sahaja dalam kalangan pelajar muda tetapi juga golongan profesional berpengalaman.

“Saya melihat universiti ini bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi pusat yang membina komuniti penyelidik berdedikasi dan berfikiran global,” katanya.

Sepanjang lebih empat dekad bergiat dalam bidang pertanian, Joseph turut mencipta sejarah apabila mengetuai projek pembangunan dua kilang pemprosesan getah Standard Malaysian Rubber (SMR) di Papua New Guinea, bagi tujuan eksport ke pasaran Eropah.

Beliau menegaskan bahawa perjalanan menuntut ilmu tiada titik noktah dan berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada pelajar muda untuk tidak pernah berhenti belajar.

“Selagi bernafas, selagi itu ilmu harus dicari. Dunia pertanian sentiasa berubah, dan kita perlu berubah bersamanya,” katanya dengan penuh semangat.



XZKHFAQ~