
SERDANG, 8 Mei – Seramai 16 warga Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024 sempena Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 yang menjadi platform strategik ubagi menyerlahkan kepakaran pensyarah universiti kepada umum.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, anugerah ini merupakan penghargaan kepada individu dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang proaktif menyumbangkan penulisan berteraskan kepakaran serta pandangan yang berwibawa dalam usaha memperkukuh advokasi awam demi kesejahteraan negara.
“Kepakaran UPM di media bukan sahaja penting untuk meningkatkan visibiliti universiti malah berperanan sebagai platform strategik bagi mengetengahkan keilmuan dan kepakaran universiti kepada masyarakat,” katanya.
Pengarang Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan, berkata anugerah ini dapat mengangkat ramai penyelidik terkini yang menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai cara untuk dikongsi bersama masyarakat.
“Pendedahan hasil penyelidikan di media memberi peluang kepada pihak industri untuk membuka ruang kerjasama serta mencetuskan idea baharu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Penyelidikan yang dijalankan di universiti perlu memberi impak kepada masyarakat. Ia bukan sahaja perlu diterbitkan dalam jurnal ilmiah, tetapi juga disampaikan kepada khalayak umum melalui media,” katanya.
Pengarang Berita Astro Awani, Dr. Azlinariah Abdullah, berkata kepentingan visibiliti media dalam mengetengahkan kepakaran penyelidik universiti serta penulisan mengikut gaya media arus perdana perlu diberi penekanan.
“Kita perlu membiasakan diri menulis tentang isu semasa yang berkait rapat dengan bidang kepakaran agar mesej dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat umum,” katanya.
Penerima Anugerah Utama Visibiliti Media 2024, Prof. Madya Dr. Christopher Teh Boon Sung, berkata media menghargai sumbangan pakar kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang sahih terutama dalam isu-isu kritikal seperti keselamatan makanan, perubahan iklim, dan inovasi pertanian.
“Melalui penulisan, saya bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran awam tetapi juga mempengaruhi dasar dan amalan industri. Saya bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial sebagai ahli akademik, tetapi juga memastikan pengetahuan saintifik sampai kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.



.jpg)


