
SERDANG, 29 Oktober- “Saya sangat gemar menerokai sains komputer dan teknologi maklumat bagi memahami potensi dan juga aplikasinya kerana saya menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar tersohor dalam bidang tersebut suatu hari kelak,”
Ungkapan dari pensyarah itu, yang telah mencurah bakti hampir 25 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya. Dr Fatimah Khalid, 54, telah melangkah jauh dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Minat saya dalam bidang ini memang sangat mendalam dan berhasrat untuk membantu masyarakat dengan kepakaran yang ada terutama dalam bidang yang menjurus kepada kecerdasan buatan dalam bidang penglihatan komputer.” katanya

Justeru, beliau telah membangunkan perisian AI, U-Net Hibrid dan Vision Transformer membantu mengurangkan kerugian dalam hasil tanaman akibat penyakit daun yang merebak dengan cepat.
Beliau berkata, Model U-Net dan Vision Transformer merupakan kajian dalam segmentasi imej dimana, kedua-dua aplikasi ini mempunyai keupayaan yang kuat dalam memahami ciri-ciri visual yang kompleks.

“Model U-Net Hibrid menyediakan asas segmentasi imej, manakala Vision Transformer meningkatkan keupayaan pengesanan dan pemahaman imej yang kompleks,
“Kombinasi ini menghasilkan sistem yang mampu mengesan penyakit dengan lebih tepat, walaupun dalam persekitaran cahaya dan kualiti gambar yang berbeza,
“Contohnya, Melalui analisis imej ke atas daun mangga penyakit yang merosakkan hasil dan kualiti buah, secara automatik akan dapat dikesan dengan pantas

“Pengaplikasian ini dapat mengurangkan kerugian hasil tanaman akibat penyakit daun yang merebak dengan cepat,” katanya
Dalam pada itu, beliau kini memberikan fokus untuk membimbing dan mengasah bakat-bakat generasi baharu dalam bidang AI dengan harapan bahawa negara akan lebih maju dengan adanya penggunaan teknologi AI.
Berkongsi analogi kerjaya sebelum bergelar pensyarah di UPM, beliau pernah bertugas sebagai juruanalisa sistem, tugasnya pada ketika itu adalah membantu organisasi untuk memahami keperluan sistem serta menyediakan teknologi yang berkesan.
Berbekalkan kata-kata motivasi yang tidak pernah luntur di dada, beliau tidak pernah berputus asa melanjutkan perjuangan, dan menabur khidmat bakti dalam minat serta kepakaran yang ada padanya.
“Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak pernah padam. Berkongsi ilmu adalah cara kita menerangi dunia, ini adalah kata kata-kata motivasi yang sentiasa saya sematkan dalam diri saya hingga hari ini,”
“Melihat pelajar-pelajar saya berjaya meraih PhD datang memberi penghargaan dan ucapan terima kasih adalah satu pencapaian yang membanggakan dan memberi motivasi untuk terus berkhidmat dalam bidang pendidikan,” katanya






