| Universiti Putra Malaysia

Hubungan dua hala UPM-Universitas Padjajaran diperkasa

Oleh: Dr. Shafinah Kamarudin

 

SERDANG, 16 Julai – Seramai 22 orang mahasiswa Universiti Padjajaran (UNPAD), dengan diiringi seorang pensyarah Faisal Syahmurman mengunjungi Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi program Educational Visit to UPM.

Program itu merupakan lawatan balas bagi program International Agriculture Outreach Program 2019 yang dianjurkan oleh mahasiswa UPM Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dari 1 hingga 14 April 2019.

Tujuan utama program adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala antara UNPAD dan UPM, dan seterusnya sebagai platform kepada mahasiswa UNPAD dan UPM untuk saling bertukar pandangan dan idea khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pensyarah kanan, Jabatan Fizik, Fakulti Sains selaku ketua projek, Dr. Mohd Mustafa Awang Kechik berkata program seperti itu perlu diperluaskan seiring dengan usaha kerajaan dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan di negara serantau terutama dalam mendepani cabaran revolusi industri 4.0.

Program turut dijayakan oleh mahasiswa dan staf daripada Fakulti Sains, Fakulti Perubatan Veterinar dan UPMKB.

Menerusi Educational Visit to UPM itu, mahasiswa UNPAD dibawa mengunjungi Fakulti Perubatan Veterinar, yang merupakan salah satu fakulti yang terawal dalam penubuhan UPM.

Pensyarah kanan, Jabatan Sains Pra-Klinikal Veterinar, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan memberikan taklimat berkaitan program yang ditawarkan di Fakulti Perubatan Veterinar. Delegasi turut dibawa mengunjungi Muzium Anatomi Haiwan dan makmal-makmal pengajaran di sekitar fakulti itu.

Sesi taklimat antara UNPAD dan UPM diadakan di Fakulti Sains yang dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Nor Azwady Abd. Aziz. Turut hadir Dekan, Fakulti Sains, Prof. Dr. Mohd. Basyaruddin Abdul Rahman, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Prof. Dr. Zanariah Abdul Majid dan wakil UPMKB Dr. Shafinah Kamarudin.

Delagasi UNPAD turut mengunjungi Jabatan Biologi yang merupakan salah satu jabatan di bawah Fakulti Sains dan melawat Muzium Biologi. Lawatan itu dikendalikan Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir.  

Ketua Jabatan Biologi, Prof. Madya Dr. Muskhazli Mustafa menerangkan bahawa pembelajaran dan pengajaran di Jabatan Biologi berteraskan kepada asas Biologi.

Delegasi juga melawat Makmal Penyelidikan Mikologi yang memberi peluang kepada mahasiswa UNPAD mempelajari teknologi terkini yang diguna pakai di UPM.  Lawatan itu dikendalikan Prof. Madya Dr. Nur Ain Izzati Mohd Zainuddin.

Meskipun program Educational Visit to UPM merupakan program singkat, namun jaringan kerjasama antara UNPAD dan UPM diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sama ada daripada sudut pendidikan, penyelidikan mahupun dalam usaha pembangunan komuniti serantau. - UPM

 

SXFCVA7~