| Universiti Putra Malaysia

Program Jom Balik Raya 2024 @ WAZAN 2.0, inisiatif bantu 482 pelajar asnaf dan B40 UPM pulang beraya

 

SERDANG, 4 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan inisiatif program Jom Balik Raya 2024 @ WAZAN 2.0 bagi membantu 482 pelajar asnaf dan B40 UPM pulang beraya.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata program ini adalah salah satu inisiatif universiti secara langsung membantu meringankan beban kewangan keluarga pelajar.

 

“Program ini adalah satu cara pihak universiti untuk mendekatkan pelajar dengan aktiviti yang dianjurkan di UPM serta memahami fungsi WAZAN UPM khususnya program agihan dana zakat,” katanya.

 

 

Tambah beliau, program itu bertepatan dalam  kerangka hala tuju strategik UPM iaitu “TRUE NORTH” dalam memfokuskan kepada pengukuhan komuniti kampus yang terdiri daripada kalangan pelajar.

 

“Saya yakin program ini memberikan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik kepada para pelajar UPM sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus ini,” katanya.

 

 

Selain itu, program ini dijayakan dengan  sumber dana kebajikan hasil sumbangan orang ramai serta badan korporat dalam bentuk zakat, wakaf  dan sumbangan kepada UPM melalui WAZAN yang disumbangkan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tabung Haji (TH) melalui Tabung Amanah Zakat UPM – Sumbangan Korporat.

 

 

Pelajar Bacelor Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMk), UPM, Lyana Ellysa Jaeapry, 21, berkata ini adalah pengalaman pertama beliau berpeluang balik kampung melalui program tersebut.

 

“Dengan keadaan ekonomi masa kini harga tiket bas agak mahal dan tidak semua pelajar berkemampuan. Saya bersyukur mendapat peluang untuk pulang ke kampung melalui inisiatif universiti menganjurkan program ini,” katanya.

 

Pelajar Asasi Sains Pertanian, UPM, Muhammad Harraz Nabil Nazri, 19, berkata beliau berharap program ini akan berterusan kerana ia meringankan perbelanjaan pelajar asnaf dan  keluarga B40.

 

 

“Penganjuran program ini adalah baik untuk pelajar malah ia secara langsung memberikan impak positif kepada pihak universiti yang prihatin terhadap permasalahan pelajar yang mempunyai masalah kewangan,” katanya.

 

Dalam pada itu, sebanyak 13 buah bas telah disediakan bagi menghantar pelajar ke sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia. Negeri yang terlibat ialah Kelantan (3 buah), Terengganu (2 buah), Pulau Pinang, Kedah, Perlis (3 buah), Perak (1 buah), Pahang (2 buah) dan Melaka, Johor (2 buah).

SXEeDA1~