| Universiti Putra Malaysia

Pelajar FSTM kendalikan hidangan konvokesyen UPM setaraf dapur Hotel Lima Bintang

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 30 November - Pengalaman mengendalikan operasi dapur skala besar untuk tetamu kenamaan termasuk DYMM Sultan Selangor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke 49 menjadi medan latihan dunia sebenar kepada pelajar Bacelor Sains Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM).

 

Menerusi pengoperasian penuh di restoran latihan L’apprenti, pelajar bukan sahaja belajar memasak, malah mengurus keseluruhan rantaian penyediaan makanan bermula daripada perancangan menu, penyediaan bahan, memasak, kawalan porsi, plating sehingga penyajian kepada tetamu VIP dan warga universiti.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, FSTM, Dr Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata penglibatan pelajar pada kali ini adalah menyeluruh dan autentik kerana mereka berfungsi sebagai tenaga operasi sebenar, bukan sekadar latihan simulasi.

 

“Pelajar dilantik mengikut stesen iaitu hot kitchen, butcher, entremetier, pastry, plating dan servis, sama seperti struktur dapur profesional industri.

  

 

“Pengalaman ini memberikan pendedahan sebenar tentang bagaimana operasi dapur industri makanan dijalankan dalam skala besar. Mereka belajar menguruskan persiapan, memasak dan penyajian makanan untuk tetamu yang ramai dalam tempoh masa terhad sambil merasai sendiri tekanan dunia sebenar,” katanya.

 

Menurut beliau, sempena majlis konvokesyen ini terdapat dua bentuk penyediaan utama. Bagi tetamu VIP termasuk dif dif kehormat universiti dan DYMM Sultan Selangor, hidangan disediakan dalam bentuk dome set atau plated meal dengan penekanan kepada kualiti, estetika, konsistensi rasa serta persembahan yang elegan.

 

“Pelajar perlu mengawal porsi, plating dan hiasan supaya setiap hidangan memenuhi standard tinggi yang sesuai untuk tetamu VIP.

 

“Bagi staf universiti dan jemputan lain, hidangan disajikan secara buffet dengan kuantiti yang jauh lebih besar. Gabungan dome set dan buffet ini mengajar pelajar mengurus kedua dua bentuk servis dalam satu masa,” jelasnya.

 

Tambah beliau, melalui pengalaman ini pelajar mempraktikkan ilmu teori dan amali yang dipelajari di FSTM, merangkumi perancangan menu, pengiraan kuantiti, penyediaan, plating serta servis dalam konteks mass production.

 

 

“Dalam menyediakan hidangan untuk tetamu VIP, prosedur keselamatan makanan sangat ketat dan pelajar perlu mematuhi kebersihan diri pada setiap masa.

 

“Setiap bahan juga direkodkan dalam bentuk dokumentasi supaya jejak bahan atau traceability sentiasa terjamin. Pelajar tidak hanya belajar teknik memasak, tetapi turut membina sikap profesional dan budaya keselamatan makanan yang kritikal dalam industri,” katanya.

 

Dr Muhammad Rezza yang juga pakar kulinari menegaskan bahawa kemahiran utama yang dibentuk melalui pengalaman ini termasuk mass production cooking, pengurusan masa, kebolehsuaian (adaptability) dan kemahiran menyelesaikan masalah (problem solving) ketika berdepan situasi sebenar di dapur.

 

Di bawah bimbingan Ketua Program, YM Prof Madya Dr Ungku Fatimah Ungku Zainal Abidin, pelajar Bacelor Sains Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian berpeluang mempraktikkan sepenuhnya kemahiran pengurusan perkhidmatan makanan dari A hingga Z.

 

Secara tidak langsung, penglibatan mereka dalam penganjuran Majlis Konvokesyen UPM ke 49 memperkukuh imej FSTM sebagai fakulti yang melahirkan graduan kompeten, profesional dan bersedia menempuh cabaran dunia industri hospitaliti dan perkhidmatan makanan.

WYMDDAu~