| Universiti Putra Malaysia

Mengaitkan ilmu Biologi dan Islam melalui program Future Biologist Caliphs

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Aidil Ashraf Badaruddin, Nur Hidayah Roslan & Wan Nur A'in Faqehah Wan Muhamad Azizi

SERDANG, 26 Mei – Seramai 30 pelajar tingkatan 4 dan 5 dari Sri Ayesha Islamic School menyertai program Future Biologist Caliphs 2.0 bertujuan memberi pendedahan kepada mereka terhadap hubungkait antara ilmu Biologi dan ilmu Islam melalui aktiviti menarik yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Program yang dianjurkan Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM itu diadakan pada 25 dan 26 Mei, dan dikendalikan oleh 31 Ahli Jawatankuasa program Future Biologist Caliphs 2.0. Ia bertemakan ‘The Embarkment of Biologist Caliphs Journey Into The Life Of Islam And Science’.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ialah “Attajarib Biologiya”, “Ya Biocaliphs, Bi Surrah” dan “Al Mutaah Fi Biocaliphs”.

Bagi “Attajarib Biologiya”, para pelajar melakukan uji kaji bersama-sama ahli kumpulan dan melakukan pemerhatian ke atas keputusan akhir yang didapati daripada uji kaji tersebut.

Melalui aktiviti itu, pelajar dapat mengaitkan hasil uji kaji berkenaan dengan firman-firman Allah SWT yang terdapat dalam Al-Quran seperti kepelbagaian cap jari, variasi rasa serta kepentingan paru-paru dan jantung kepada manusia.

Aktiviti “Ya Biocaliphs, Bi Surrah” pula menguji kepantasan pelajar menjawab soalan yang disediakan.

Dalam aktiviti itu, pelajar diibaratkan seperti terperangkap dalam sebuah buku yang menceritakan kehebatan tokoh-tokoh Islam pada suatu masa dahulu dan mereka perlu menjawab semua soalan yang disediakan untuk melepaskan diri daripada buku tersebut. Permainan itu menggunakan pelbagai aplikasi menarik termasuk  GoogleMeet, Typeform, dan GoogleSlide.

“Al Mutaah Fi Biocaliphs” pula adalah aktiviti pengembaraan secara maya. Pelajar perlu menyelesaikan kesemua cabaran dengan masa yang terpantas untuk memenangi aktiviti itu.

Penasihat KMB dan program ini, Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, tema program kali ini dapat memberi pengetahuan baharu kepada pelajar sains, iaitu ilmu sains dan Islam sentiasa mempunyai perkaitan.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga dapat meningkatkan semangat kerjasama dan sikap berdaya saing secara sihat serta sifat kepemimpinan dalam menyelesaikan misi sepanjang program,” katanya.

Katanya, program kesinambungan kali kedua ini mempunyai kelainan dari tahun sebelumnya kerana walaupun platform yang digunakan adalah secara dalam talian sepenuhnya namun, aktiviti yang diadakan telah berlangsung dengan meriah dan mampu memupuk kemahiran critical thinking ke dalam diri pelajar dalam menyelesaikan masalah berkaitan dengan sains.

Selain itu, para pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari sepanjang menyertai program itu di dalam kehidupan seharian mereka.

Pengarah program, Aidil Ashraf Badaruddin berkata, walaupun program kali ini tidak dapat dijalankan secara bersemuka seperti tahun sebelumnyai, para fasilitator dan pelajar tetap aktif dan bersemangat dalam menyertai setiap aktiviti yang dijalankan secara dalam talian.

“Program ini sedikit sebanyak dapat membuka mata kami (fasilitator) dan pelajar dari Sri Ayesha Islamic School mengenai aplikasi ilmu Islam dalam Sains terutamanya bagi Biologi,” katanya.

Pada akhir program, pelajar memberikan refleksi yang diperoleh daripada program itu dan menceritakan pengalaman baharu yang didapati sepanjang melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan.

Rata-rata mereka menyatakan kegembiraan dan seronok menyertai aktiviti itu dan berharap diberi peluang lagi untuk menyertainya pada masa akan datang.

Tiga pelajar yang aktif dalam menyertai program diberikan penghargaan dan hadiah, masing-masing RM100 sumbangan daripada Fakulti Sains, UPM manakala tiga kumpulan yang memperoleh markah keseluruhan tertinggi dinobatkan sebagai pemenang dan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,000 yang ditaja oleh MySTEM UPM. - UPM

SXFDWAr~