| Universiti Putra Malaysia

Mentoring with Senior and Alumni

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

 

SERDANG – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Mentoring with Senior and Alumni’ bagi mengekalkan prestasi akademik pelajar walaupun perlu berhadapan dengan pembelajaran secara norma baharu ketika pandemik Covid-19.

Timbalan Dekan Pra Siswazah dan Alumni, SPE, UPM, Prof. Madya Dr. Norashidah Mohamed Nor berkata antara cabaran yang dihadapi ialah kesediaan pelajar dan pensyarah berdepan gangguan capaian internet disebabkan rangkaian yang tidak memuaskan serta ketiadaan alat peranti pintar.

“Ramai pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19, mereka mengalami kesukaran memahami serta menghayati pelajaran yang diajar oleh pensyarah kesan daripada penggunaan medium pembelajaran secara atas talian,” katanya.

Persatuan Pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBESA) dengan kerjasama Chapter Alumni YOSH UPM dan Majlis Perwakilan Pelajar SPE, UPM melaksanakan program ‘SPE Mentoring with Senior and Alumni’ melibatkan 197 orang mentee daripada kalangan pelajar tahun satu dan dua.

Program yang berjalan selama dua bulan itu turut melibatkan 11 mentor yang merupakan pelajar tahun akhir dan pelajar sarjana di SPE.

Pengarah program, Nazrul Irfanradi Nazarulnuar percaya usaha seperti itu akan memberi pelbagai manfaat kepada pelajar terutamanya pelajar di SPE.

“Ia menunjukkan bahawa prestasi akademik terus menjadi tonggak utama dalam mengekalkan kecemerlangan pelajar walaupun perlu berhadapan dengan cara pembelajaran norma baharu sewaktu pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata, program itu juga membuktikan bahawa pucuk kepemimpinan pelajar yang terdiri daripada MPP SPE, SBESA dan YOSH UPM amat cakna dalam manjalankan amanah dengan menjalankan program demi kemaslahatan mahasiswa dalam apa jua keadaan.

Katanya, menghadapi perubahan gaya pembelajaran seperti itu tidak mudah, dan pelajar mesti memaklumkan kepada pensyarah keupayaan akses Internet mereka bagi memastikan pensyarah tidak pukul rata dalam melaksanakan PdP atas talian.

Katanya, dengan keterbatasan pergerakan, pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya sumber atas talian, misalnya buku elektronik, YouTube malah kalkulator saintifik.

Pelajar Sarjana Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, Nurul Athira Mohd Affandi yang juga ahli Unit Perhubungan Luar Chapter Alumni YOSH UPM, berkata norma baharu ekoran pandemik COVID-19 tidak menghalang pelajar mengekalkan prestasi akademik.

“Dengan cabaran baharu gaya belajar dan berkerja, pensyarah dan pelajar masing-masing perlu mengubah set minda. Mentor mesti lebih kreatif dan inovatif untuk memastikan sesi mentoring berjalan baik, manakala pelajar perlu berusaha lebih keras ketika pembelajaran atas talian. Covid-19 bukan alasan untuk kita mengeluh,” katanya.

Pelajar Bacelor akaun, SPE, Ammar Zikrullah Hashim berkata SPE Mentoring membantu pelajar untuk memahami apa yang diajar dengan baik. - UPM

 

 

 

SXDdIA4~