| Universiti Putra Malaysia

Pengusaha IKS ternakan dan perikanan Isu dan Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Operasi Patuh Syariah

Ringkasan Artikel

Masalah dan cabaran dalam industri kecil dan sederhana (IKS) mematuhi operasi patuh syariah telah menjadi isu yang dibincangkan oleh pengusaha IKS dalam bidang penternakan dan perikanan...

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 28 MEI 2019.

Oleh Prof. Madya Dr Fauziah Mahat

Masalah dan cabaran dalam industri kecil dan sederhana (IKS) mematuhi operasi patuh syariah telah menjadi isu yang dibincangkan oleh pengusaha IKS dalam bidang penternakan dan perikanan iaitu isu penyembelihan, pemakanan dan penjagaan.

Faktor yang perlu diambilkira ialah penyembelih mestilah orang Islam, alat yang digunakan untuk menyembelih mestilah tajam dan keadaan tempat sembelihan mestilah bersih.

Dalam industri perikanan pula, isu operasi patuh syariah ialah seperti bebas sumber makanan yang tidak suci dan bersih seperti organ khinzir, bangkai dan sebagainya.

Pihak berwajib harus mewujudkan satu pasukan khas untuk menyiasat kandungan pemakanan yang ada di dalam setiap palet. Selain itu dicadangkan perlu ada satu organisasi yang boleh mengeluarkan sijil patuh syariah sebelum sijil halal dikeluarkan.

Agensi pemantauan operasi patuh Syariah perlu ada sebagai rujukan untuk memantau pematuhan operasi patuh Syariah terhadap pengusaha-pengusaha IKS.

Dalam IKS perikanan pula, pemeriksaan ke atas bahan-bahan makanan atau sumber membuat makanan ikan perlulah telus dan pemeriksaan itu perlulah dijalankan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Pengusaha-pengusaha IKS perikanan perlulah diberi pendedahan maklumat mengenai operasi patuh syariah yang suci dan bersih. JAKIM juga perlu menyenaraikan semua pembekal makanan ikan di Malaysia bagi memastikan pembekal-pembekal tersebut membekalkan makanan ternakan ikan patuh syariah.

Keperluan patuh syariah meliputi sistem pengairan yang berkesan supaya dapat mengalirkan kotoran dan najis. Ilmu tentang operasi patuh syariah pengusaha IKS sesuai disampaikan melalui kuliah-kuliah di masjid.

Langkah seterusnya, pengusaha IKS perlulah mempraktikkan amalan-amalan patuh syariah dalam operasi penternakan dan perikanan seperti membeli makanan ternakan yang suci dan bersih dan tempat ternakan dalam keadaan sentiasa bersih. Contohnya, bagi kolam ternakan ikan perlulah mempunyai saluran pengairan yang baik dan bersih supaya air yang digunakan itu tidak tercemar.

Pengusaha-pengusaha IKS penternakan dan perikanan perlulah mempunyai ilmu tentang patuh syariah dan harus mempraktikkan operasi patuh syariah untuk kebaikan masyarakat umum dalam mengelakkan sebarang keraguan dalam pengambilan makanan seharian mereka.

Prof. Madya Dr. Fauziah Mahat
Jabatan Perakaunan Dan Kewangan
Pengurusan Risiko & Insurans, Kewangan dan Kewangan Islam
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

SXDdBAn~